Anda di sini

MR D.I.Y bantu barisan hadapan perubatan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Peruncit pekakasan rumah MR D.I.Y. telah membantu Tabung COVID-19 The Edge untuk mendapatkan bekalan 35,000 sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan juga satu juta penutup hidung dan mulut, untuk Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan Mr. D.I.Y. (M)  Adrian Ong berkata, selain itu dalam usaha untuk membantu barisan hadapan perubatan dalam mengekang penularan wabak COVID-19, syarikat itu turut membeli tambahan 1,000 unit sut PPE untuk disumbangkan kepada profesional perubatan di sini.

Katanya, MR. D.I.Y. juga akan menyediakan pasukan logistik dan penghantarannya bagi mengedarkan bekalan peralatan perubatan itu kepada lebih 30 buah hospital di seluruh negara secara bersama dengan tiga badan bukan kerajaan; Mercy Malaysia, IMARET (Persatuan Perubatan Islam Malaysia) dan Malaysian Relief Agency.

“Misi khas kemanusiaan ini adalah cara syarikat korporat Malaysia untuk memberikan semula, dengan cara yang nyata, bagi membantu wira barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.

“Penularan ini satu peringatan yang sukar terhadap pengorbanan peribadi kesemua barisan hadapan kita yang berani, dalam usaha tanpa mengenal lelah bagi melindungi kita.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan di MR D.I.Y. yang telah bekerja keras dalam mengkoordinasikan pembelian barangan, logistik dan pengedaran ke hospital, NGO dan perkhidmatan lain kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maklumat lanjut mengenai MR. D.I.Y. layari laman sesawang ; https://www.mrdiy.com/, dan juga Facebook dan Instagram @mrdiy2u. - Bernama 

Advertisement