Anda di sini

Miri FA bermesyuarat bagi penjadualan semula perlawanan kempen Piala Belia

Advertisement
 Beberapa pemain Sarawak United IV turut membantu mengagihkan barangan keperluan harian kepada keluarga terjejas wabak COVID-19 hasil sumbangan wakil rakyat di Miri.
BANTU: Beberapa pemain Sarawak United IV turut membantu mengagihkan barangan keperluan harian kepada keluarga terjejas wabak COVID-19 hasil sumbangan wakil rakyat di Miri.

MIRI: Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (Miri FA) akan mengadakan mesyuarat bagi penjadualan semula perlawanan kempen Piala Belia 2020 selepas negara melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19.

Presidennya, Mohd Saif Jubaidi berkata sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu semua perlawanan bola sepak termasuk liga tempatan telah dibatalkan serta merta.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan agar semua perlawanan bola sepak dibatalkan dan kita juga mematuhi arahan itu serta membatalkan liga tempatan Miri,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Saif berkata, selain menjadi tuan rumah Piala Belia 2020, Miri juga dipilih sebagai lokasi sementara Liga Futsal Kebangsaan 2020 yang sepatutnya berlangsung di Miri pada 28 Mac lalu.

“Liga Futsal Kebangsaan 2020 juga terpaksa dibatalkan dalam tempoh PKP dan semua jadual perlawanan akan disusun atur semula sebaik sahaja PKP tamat nanti,” jelasnya.

Menurutnya, pemain-pemain Sarawak United IV telah pulang ke rumah masing-masing sementara beberapa pemain lain masih berada di Miri kerana tidak dibenarkan bergerak dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Bagaimanapun, ibu bapa pemain-pemain terbabit tidak perlu risau kerana keselamatan dan kebajikan mereka terjaga dan semua pemain diarahkan agar mematuhi PKP sepanjang tempoh bercuti,” katanya.

Saif menambah beberapa pemain Piala Belia 2020 yang masih berada di Miri juga melakukan kerja-kerja kebajikan membantu keluarga yang terjejas akibat COVID-19.

“Mereka bersama pengurusan Piala Belia membantu wakil rakyat mengagihkan bekalan makanan dan keperluan khas kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah dan miskin,” jelasnya.

Katanya, ia adalah antara usaha membantu masyarakat yang ditimpa kesusahan dalam pelaksanaan PKP sekali gus memberi motivasi kepada pemain-pemain mengenai kerja-kerja amal.

Advertisement