Anda di sini

Kewangan Islam dijangka terus berkembang pada 2020 dan seterusnya

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kewangan Islam dijangka terus berkembang pada 2020 dan seterusnya berikutan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Malaysia membantu memacu pertumbuhan dalam produk kewangan patuh Syariah, walaupun COVID-19 boleh menganggu terbitan sukuk, menurut Moody’s Investors Service.

Dalam laporan semalam, agensi penarafan itu berkata Arab Saudi akan kekal menjadi pasaran perbankan Islam terbesar di dunia manakala sektor itu akan terus berkembang dengan pesat di Malaysia.

“Kami menjangka terbitan sukuk akan kekal stabil pada sekitar AS$180 bilion pada tahun ini, dan pasaran insurans takaful akan menyaksikan pertumbuhan yang kukuh berikutan premium insurans meningkat dalam pasaran yang baru ditembusi,” kata Naib Presiden merangkap Pegawai Kredit Kanan Moody’s Nitish Bhojnagarwala.

Bagaimanapun, risiko me-ningkat berikutan pandemik COVID-19 dan gangguan pasaran yang berpanjangan boleh menghalang penerbit daripada memasuki pasaran, katanya.

Moody’s berkata Malaysia, Indonesia dan negara-negara GCC akan terus memacu terbitan sukuk korporat pada 2020, dan menjangka terbitan sukuk pada tahun ini sejajar dengan jumlah pada 2018-2019.

Terbitan korporat sukuk antarabangsa pada 2019 sama dengan tahun sebelumnya, dengan 12 syarikat menerbitkan kira-kira AS$8.2 bilion berbanding 12 syarikat menerbitkan US$7.6 bilion pada 2018. Sebanyak lapan syarikat memanfaatkan AS$4.8 bilion daripada pasaran modal pada 2017.

Malaysia mempunyai pasaran domestik yang kukuh yang menguasai terbitan mata wang tempatan manakala terbitan antarabangsa diterajui oleh syarikat dalam GCC di mana mata wang ditambat kepada dolar dan pasaran modal hutang domestik yang kekal kecil.

Memandangkan kerajaan GCC mempromosikan dasar untuk mempelbagaikan ekonomi mereka dan menggalakkan syarikat mengakses pasaran modal, mungkin terdapat peningkatan kepada jangkaan terbitan, terutamanya di Arab Saudi apabila syarikat biasanya bergantung kepada sistem perbankan domestik.

Moody’s berkata terdapat hanya sebilangan kecil sukuk dolar korporat dari Malaysia dalam beberapa tahun ini dan menjangka terbitan sukuk antarabangsa oleh syarikat Malaysia akan kekal rendah, berdasarkan pasaran modal hutang domestik dan syarikat dapat melaksanakan sukuk mata wang tempatan jangka panjang.

Agensi penarafan itu menjangka penggabungan antara bank Islam dan konvensional di rantau GCC akan memacu peningkatan sekali dalam aset, seperti yang dilaksanakan pada 2019.

Terdapat tumpuan yang berterusan kepada industri sukuk dan terbitan meningkat oleh kerajaan pasaran kewangan Islam teras, katanya.

Sementara itu, Moody’s menjangka aset Islam meningkat sebanyak 3.0 peratus hingga 4.0 peratus, sejajar dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul mereka, dalam jangka pendek hingga sederhana, dikekang oleh prospek pertumbuhan ekonomi yang lemah dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Aset di bawah pengurusan Islam berjumlah AS$67.4 bilion pada 2018, katanya.

Moody’s berkata permintaan terhadap pelaburan alternatif akan meningkat berikutan asas pelabur Islam yang luas akan merangkumi lebih banyak institusi yang melabur dalam tempoh lebih panjang, seperti syarikat insurans dan dana pencen.

Golongan amat kaya di rantau GCC telah mula melabur secara langsung dalam hartanah dan telah membeli pegangan dalam syarikat swasta.

Moody’s berkata peningkatan pelabur institusi akan menjana peluang pertumbuhan untuk pengurus yang telah menambah pelaburan alternatif kepada rangkaian produk mereka.

Sementara itu, kadar penembusan perbankan Islam dalam pasaran kewangan Islam teras GCC, Malaysia, Indonesia dan Turki naik kepada 31.2 peratus pada September 2019 berbanding 25.5 peratus pada 2013, manakala terbitan sukuk global tahunan meningkat kepada AS$179 bilion daripada AS$131 bilion. — Bernama

Advertisement