Anda di sini

Iliyas percaya pesilat dapat kekalkan prestasi

Advertisement
DATUK ILIYAS IBRAHIM
DATUK ILIYAS IBRAHIM

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Sabah (PSS PESAKA Sabah), Datuk Iliyas Ibrahim percaya pesilatnya dapat kekalkan prestasi sementara menunggu tarikh baru Sukan Malaysia (SUKMA).

"Kami sudah buat perancangan terperinci dalam persiapan menghadapi SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya berlangsung pada Julai. Bagaimanapun ia (SUKMA) telah ditunda dan tarikh baru belum diputuskan.

"Persiapan juga terganggu disebabkan wabak COVID-19 tetapi saya percaya pesilat kami  mampu jaga prestasi walaupun kini berlatih sendiri di rumah masing-masing ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April," kata Iliyas ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, pesilat SUKMA Sabah sempat mengadakan latihan pusat di sini pada 3-9 Februari dan 11-16 Mac.

Iliyas berkata, 30 pesilat yang terdiri daripada 17 lelaki dan 13 wanita telah disenaraikan bagi membawa cabaran Sabah ke SUKMA.

"Tiga puluh pesilat ini terpilih dari 60 yang tersenarai awal. Mereka inilah (30 pesilat) yang telah menjalani latihan pusat  di Dewan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) di  Batu 2, Jalan Tuaran pada 11-16 Mac.

"Mereka kini menjalani latihan sendiri di rumah masing-masing bagi mematuhi PKP," kata Iliyas.

Beliau berkata, PSS PESAKA Sabah juga ada senarai pengganti jika ada di antara pesilat itu yang terpaksa digugurkan disebabkan kecederaan atau sakit.

Iliyas berkata, perkembangan prestasi pesilat akan dipantau dari masa ke semasa bagi memastikan mereka sentiasa ditahap terbaik.

Skuad silat SUKMA Sabah dibimbing tiga jurulatih iaitu Emy Latif, Nurulain Sohrab dan Mohammad Daud manakala pengurus pasukan ialah naib Yang Dipertua PSS PESAKA Sabah, Awang Mesri Awang Kepli.

"Pesilat juga tahu tanggungjawab dan apa yang diharapkan dari mereka. Sebagai penyumbang pingat emas terbanyak pada SUKMA 2018 Perak, ianya tugas besar bagi skuad silat pada SUKMA akan datang.

"Kami tidak tetapkan sebarang sasaran pingat tetapi jika dapat mempertahankan lima emas, ia adalah pencapaian yang cukup bagus," kata Iliyas.

Di samping lima emas, skuad silat juga menang dua perak dan tiga gangsa pada SUKMA 2018 Perak.

Sambil itu, edisi ke-20 SUKMA 2020 yang sepatutnya berlangsung di Johor pada 11-19 Julai telah ditunda ke tarikh yang belum diputuskan.

Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA baru-baru ini membayangkan edisi ke-20 sukan terbesar negara itu mungkin akan diadakan pada penghujung tahun ini atau dianjakkan ke tahun 2021.

  • oleh
  • Advertisement