Anda di sini

COVID-19: Kerajaan peruntukkan RM700j bantu usahawan mikro

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menerima peruntukan sebanyak RM700 juta daripada kerajaan untuk mengendalikan pinjaman atau kewangan kepada usahawan mikro yang terjejas akibat wabak COVID-19 melalui BSN Micro/i Kredit Prihatin.

Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata pembiayaan ini menawarkan kadar sebanyak dua peratus tanpa cagaran kepada semua usahawan mikro dalam pelbagai segmen dengan syarat kelayakan pinjaman minimum enam bulan operasi berbanding syarat kelayakan sebelumnya iaitu setahun.

Beliau berkata bagi memudahkan usahawan mikro meneruskan perniagaan mereka, amaun pembiayaan turut ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan dengan tempoh pinjaman/pembiayaan antara 1 hingga 5.5 tahun.

“Bagi usahawan yang memohon BSN Micro/i Kredit Prihatin turut diberi moratorium enam bulan ke atas pembayaran ansuran bulanan.

“Dalam pada itu, kadar serendah 3.5 peratus sehingga 4.00 peratus juga ditawarkan kepada pelanggan bagi produk dan pembiayaan sedia ada seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Agro Makanan (AF) serta Kemudahan Automasi dan Pendigitilan (ADF),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Yunos berkata peranan BSN itu adalah sebagai menyokong inisiatif dan keprihatinan kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas oleh wabak CO-VID-19 melalui beberapa pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan baru-baru ini.

Menurutnya, pakej rangsangan itu yang amat signifikan dalam membantu merangsang ekonomi seperti yang diharapkan kerajaan juga dinanti-nantikan oleh semua terutamanya usahawan mikro, kecil dan se-derhana untuk membantu memudahkan aliran tunai dan meneruskan perniagaan mereka.

“Meskipun pelbagai inisiatif telah kami tawarkan seperti di atas, BSN juga mengumumkan bantuan moratorium secara automatik untuk semua pinjaman dan pelanggan yang memenuhi syarat tanpa kompaun faedah untuk pinjaman konvensional sedia ada.

“Kami berharap agar bantuan yang BSN tawarkan ini dapat meringankan beban dan membantu rakyat Malaysia dalam waktu yang sukar ini,” katanya.

Bagi maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1-300-88-1900. — Bernama

Advertisement