Anda di sini

95.3 peratus warga Sarawak patuh Perintah Kawalan Pergerakan

Advertisement
 

KUCHING: Sejumlah 98 orang daripada 150 yang didakwa di mahkamah kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri dijatuhkan hukuman penjara dan denda sejak 18 Mac.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (gambar) berkata 125 orang daripada 150 mengaku bersalah semasa dibicarakan, 69 orang dijatuhkan hukuman penjara, 29 dipenjara serta denda dan 14 lagi didenda.

Menurutnya juga, tujuh lagi suspek gagal hadir di mahkamah dan waran tangkap terhadap mereka telah dikeluarkan.

"Jumlah tangkapan keseluruhan sejak PKP dikuatkuasakan sehingga hari ini adalah seramai 312 orang dan 150 daripada telah dituduh di makhkamah," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Selain itu Aidi turut memberitahu Sibu merekodkan jumlah paling ramai dijatuhkan hukuman penjara iaitu 31 orang dan kebanyakkan mereka dihukum penjara dua minggu ke tiga bulan.

Sementara itu, untuk tempoh 24 jam iaitu 8 pagi semalam sehingga 8 pagi hari ini, seramai 36 orang ditangkap ingkar PKP di seluruh negeri.

"Tangkapan berkurangan sedikit mungkin kerana orang ramai sudah takut kerana hukuman penjara telah dikenakan kepada mereka yang dituduh di mahkamah," kata Aidi.

Manakala Aidi menjelaskan peratusan pematuhan PKP di Sarawak sehingga semalam ialah 95.3 peratus.

"Diharapkan agar masyarakat akan terus memberikan kerjasama dalam usaha kita bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19," katanya.

Advertisement