Anda di sini

32 positif COVID-19 di Sarawak, catatan harian tertinggi setakat ini

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan 32 kes baharu positif COVID19 yang merupakan catatan harian tertinggi dicatatkan setakat ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan itu ia menjadikan jumlah kes di Sarawak 188 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bwrkata, kesemua 32 kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Daripada 32 kes tersebut, (31) adalah dari Kuching dan (1) dari Samarahan. Kebanyakan kes positif yang dilaporkan hari ini adalah terdiri daripada mereka yang telah membuat saringan di Kompleks Belia dan Sukan, Kuching," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa di sini, hari ini.

(kemaskini dari sini)

Uggah berkata sejak 21 Mac yang lalu, 2,228 orang menjalani pemeriksaan di Kompleks Belia dan Sukan, dan 1,160 sampel diambil. 

Katanya, 49 kes adalah positif, 771 adalah negatif dan 340 masih menunggu keputusan makmal. 

"Saya merakamkan penghargaan kepada individu yang secara sukarela yang telah membuat saringan. 

"Sekali lagi kita juga menyeru kepada orang awam yang mempunyai kontak rapat kepada mana-mana kes positif untuk pergi membuat saringan dengan kadar segera agar kita dapat mengesan pesakit dan kita juga berusaha untuk memutuskan jangkitan ini daripada terus merebak," tegasnya.

Beliau berkata, setakat hari ini juga 66 kes baharu Orang Yang Disyaki (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,288 kes. 

Katanya daripada jumlah itu, 1,045 kes adalah negatif dan 55 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

"Bagi statistik kes PUI mengikut daerah daripada 66 kes, sebanyak 55 kes PUI di Kuching, satu kes di Bau, Samarahan (2), Sri Aman (1), Bintulu (1) dan Miri (6).

"Sehingga kini, Sarawak telah merekodkan lapan kematian sejak kes pertama dilaporkan pada 17 Mac 2020 dan 14 kes telah discaj dari hospital," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement