Anda di sini

30 April pengurusan kes rayuan SIB bagi mendapatkan dokumen 

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: Pengurusan kes bagi rayuan dikemukakan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) untuk mendapatkan dokumen berkaitan keputusan Kabinet pada 1986 yang melarang penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan bukan Islam, dijadualkan semula ke 30 April.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, semasa dihubungi Bernama hari ini berkata sebelum ini pengurusan kes itu ditetapkan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Jalidah Hamid, tetapi telah dilapangkan.

“Kami menerima e-mel daripada mahkamah memaklumkan pengurusan kes bagi rayuan SIB yang dijadualkan hari ini, telah dilapangkan. Tarikh pengurusan kes akan datang ditetapkan pada 30 April di Mahkamah Rayuan," katanya.

Pada 16 Oktober, 2017 Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan gereja itu bagi mendapatkan dokumen berkenaan, memutuskan dokumen berkenaan diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan tidak boleh dikeluarkan.

Dokumen itu dimohon oleh gereja itu dan Presidennya Datuk Jerry W. A. Dusing @ Jerry W. Pate, dalam permohonan semakan kehakiman difailkan pada 10 Dis, 2007 terhadap Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung hak mereka untuk menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan keagamaan mereka.

Permohonan itu juga difailkan untuk mencabar keputusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas buku agama yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia, yang mengandungi kalimah Allah, di terminal penerbangan tambang rendah di Sepang pada 15 Ogos, 2007.

Mereka memohon diisytiharkan bahawa mereka mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menggunakan kalimah Allah dalam injil Kristian terjemahan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia dan dalam semua penerbitan dan bahan keagamaan mereka.

Pada 1 Oktober, 2014, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada gereja itu untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman berhubung hak untuk menggunakan kalimah “Allah" dalam semua penerbitan dan bahan keagamaannya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Mei, 2014 menolak permohonan gereja SIB bagi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu, perkara itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit bagi semakan kehakiman dikemukakan gereja itu.

Bagaimanapun, merit bagi semakan kehakiman itu masih belum didengar di Mahkamah Tinggi apabila SIB terlebih dahulu memohon bagi mendapatkan dokumen itu. - Bernama 

Advertisement