Anda di sini

Sepanyol terus meratap

Advertisement
 Anggota UME (Unit Kecemasan Tentera) bersiap sedia untuk memindahkan pesakit dari Klinik Hospital San Carlos dengan menaiki bas ke hospital sementara untuk pesakit COVID-19 di pusat pameran dan konvensyen Ifema di Madrid, kelmarin. — Gambar AFP
KRITIKAL: Anggota UME (Unit Kecemasan Tentera) bersiap sedia untuk memindahkan pesakit dari Klinik Hospital San Carlos dengan menaiki bas ke hospital sementara untuk pesakit COVID-19 di pusat pameran dan konvensyen Ifema di Madrid, kelmarin. — Gambar AFP

MADRID: Sepanyol memecah satu lagi rekod kebangsaan bagi kematian akibat pandemik novel koronavirus (COVID-19) harian kelmarin tatkala lebih 40 peratus populasi dunia diarah duduk di rumah untuk menghentikan penularan penyakit yang sudah meragut kira-kira 33,500 nyawa.

Hospital dipenuhi pesakit dengan cepat sekali di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang kini menjadi pusat pandemik yang bermula di Asia tetapi kini menterbalikkan ekonomi global dan mengganggu kehidupan harian dengan cara yang luar biasa.

Sepanyol mengumumkan 838 kematian dalam tempoh 24 jam, peningkatan hari ketiga berturut-turut.

AS telah menyaksikan pertambahan yang amat besar dalam kes koronavirus, termasuk kes yang meningkat dua kali ganda dalam tempoh hanya dua hari, dengan New York paling teruk terjejas.

Saintis kanan keajaan Anthony Fauci kelmarin mengeluarkan ramalan awal COVID-19 boleh meragut 100,000 hingga 200,000 nyawa.

“Ini adalah cara pandemik bekerja,” tambah Deborah Birx, yang seperti Fauci adalah anggota pasukan petugas koronavirus Rumah Putih, “dan itulah sebabnya kita amat bimbang.”

“Tiada negeri, tiada kawasan metro akan selamat,” katanya kepada NBC.

Sehari sebelum itu, Presiden Donald Trump mencadangkan kuarantin ke atas negeri New York dan dua negeri jiran, sebelum beliau menarik balik cadangan itu hanya beberapa jam sahaja kemudian dan memilih nasihat perjalanan.

Perubahan fikiran itu menggambarkan kekeliruan yang berlaku di kebanyakan negara di dunia.

Setakat kelmarin, lebih 3.38 bilion orang disuruh atau diarah untuk mengikuti langkah pengurungan, menurut satu pangkalan data AFP, selepas virus berkenaan menjangkiti setiap segi kehidupan, memusnahkan jutaan pekerjaan, menangguhkan pilihan raya dan menekan butang jeda ke atas dunia sukan.

Negara paling teruk terjejas Itali, dengan 756 kematian dalam tempoh 24 jam, dan Sepanyol, dengan 838 kematian, sama-sama menyumbang kepada lebih separuh jumlah kematian di dunia.

Bagaimanapun kedua-dua negara berpaut pada harapan bahawa mereka semakin mencapai puncak krisis.

Sementara Trump terus mengundang kritikan kerana menyatakan beliau harap rakyat Amerika dapat kembali bekerja menjelang Easter, negara lain memberi amaran kepada warga mereka bahawa arahan berkurung akan menjadi kelaziman baharu bagi tempoh yang belum pasti lamanya.

Sepanyol mengukuhkan sekatan yang sudah pun ketat ke atas pergerakan manakala pihak berkuasa Itali berkata mereka akan melanjutkan penutupan selepas tarikh 3 April.

“ICU (unit rawatan rapi) saya penuh sama sekali,” kata Eduardo Fernandez, seorang jururawat di Hospital Infanta Sofia di Madrid, di mana pihak berkuasa telah mendirikan sebuah hospital lapangan dengan 5,500 katil dan menubah sebuah gelanggang ais menjadi rumah mayat.

“Jika ia bukan keruntuhan sepenuhnya, kita berada di ambangnya,” tambahnya.

Pandemik itu telah mencetuskan usaha yang giat di seluruh dunia untuk mendapatkan kelengkapan perubatan bagi doktor dan jururawat yang bergelut untuk mengeluarkan stok topeng muka dan ventilator menyelamat nyawa yang terhad.

Datuk Bandar New York Bill de Blasio berkata bandar rayanya, dengan lebih 670 kematian setakat ini, mempunyai kelengkapan pelindungan yang mencukupi hanya selama seminggu sahaja lagi.

“Semua orang takut,” kata Diana Torres, yang bekerja di sebuah pusat pemulihan di bandar raya itu.

AS kini mencatatkan jumlah tertinggi bagi jangkitan COVID-19 yang sah pada peringkat global dengan lebih 135,000 kes, menurut satu kiraan Universiti Johns Hopkins, yang mencatatkan jumlah kematian di seluruh dunia sebanyak 33,551.

Jumlah kematian di AS hampir mencapai 2,400 kelmarin, dengan bandar raya seperti Detroit dan New Orleans yang menyertai New York sebagai tompok panas.

Sementara negeri-negeri AS melaksanakan pelbagai langkah, Trump menyemai kekeliruan pada hujung lepas apabila beliau menarik balik cadangan untuk melaksanakan perintah berkurung yang umum ke atas New York dan negeri jirannya untuk menghalang penduduk dari kawasan yang dijangkiti virus daripada melawat Florida dan negeri lain.

Dia mengubah fikiran hanya beberapa jam sahaja selepas beliau mengejutkan wilayah metropolitan New York dengan kuarantin yang dicadangkannya, satu langkah yang ditolak Gabenor Andrew Cuomo sebagai tidak masuk akal.

Di seberang Lautan Atlantik, jumlah kematian di Britain melepasi 1,200 manakala Perdana Menteri Boris Johnson yang diuji positif bagi virus itu pada minggu lepas, memberi amaran tentang hari-hari gelap.

“Kita tahu keadaan akan bertambah buruk sebelum ia menjadi lebih baik,” kata Johnson, yang melaporkan hanya gejala ringan.

Timbalan ketua pegawai perubatan negara memberi amaran bahawa kehidupan tidak akan kembali normal selama enam bulan atau lebih.

Perancis mengerahkan dua kereta api yang dilengkapi khas untuk mengangkut pesakit COVID-19 dari hospital yang sesak di timur negara ke kemudahan di sepanjang pantai barat.

Di Iran yang teruk terjejas, Presiden Hassan Rouhani juga berkata negara itu mesti bersiap sedia untuk menyesuaikan diri kepada cara hidup baharu pada masa depan yang terdekat, selepas 123 lagi kematian direkodkan.

Datuk bandar Moscow mengarahkan pengasingan diri bagi semua penduduk ketika Rusia bersiap sedia untuk menutup sempadannya semalam dan mengambil cuti kerja selama seminggu.

Lebih 710,000 kes COVID-19 sudah diumumkan secara rasmi di seluruh dunia sejak wabak bermula pada hujung tahun lepas, menurut kiraan Johns Hopkins.

Variasi dalam rejim ujian bermakna jumlah sebenar kemungkinan jauh lebih tinggi.

Sementara kemudahan kesihatan di negara mewah semakin merasai tekanan, kumpulan bantuan memberi amaran tentang kesan bagi jutaan penduduk di negara miskin dan zon perang seperti Syria dan Yaman.

Tiga bilion manusia di seluruh dunia tidak ada akses kepada air paip dan sabun, senjata paling asas untuk melindungi diri daripada virus itu, menurut pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di Benin, Presiden Patrice Talon berkata negaranya tidak dapat melaksanakan pengurungan awam kerana ia tidak ada “kaedah negara mewah”. — AFP

Advertisement