Anda di sini

Sektor hartanah Sarawak akan berubah mengikut struktur ekonomi negara

Advertisement
SIM KIANG CHIOK
SIM KIANG CHIOK

KUCHING: Sektor hartanah di Sarawak akan berubah mengikut struktur ekonomi negara selepas tamatnya pandemik COVID-19 kata Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak, Sim Kiang Chiok semalam.

Beliau berpendapat bahawa selepas tamatnya wabak COVID-19 perniagaan tidak akan beroperasi seperti biasa untuk tempoh setahun kerana terdapat banyak cabaran kesan kekhuatiran terhadap wabak berkenaan.

“Sebagai contoh sektor pelancongan negara, sektor perkilangan, Amerika Syarikat, Eropah dan India juga berada dalam keadaan pandemik dan juga sedang mengalami tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama seperti kita.

“Justeru, saya meramalkan bahawa permintaan bagi barangan adalah rendah.  Walaupun negara China sudah berada dalam keadaan terkawal namun permintaan untuk semua pengeluarannya terhad kecuali bekalan perubatan.

“Mengenai projek pembinaan pula saya berharap projek kerajaan akan terus mendorong aktiviti ekonomi seperti projek Lebuhraya Pan Borneo, jambatan dan projek rangkaian jalan pesisir,” katanya kepada Utusan Borneo.

Pada masa yang sama, ia menyediakan pekerjaan dan pendapatan untuk rakyat, jelasnya lagi.

Mengenai sektor pembangunan, perumahan merupakan keperluan asas dan permintaannya ada tetapi ia akan menjadi lebih rendah kerana kemungkinan orang ramai kehila-ngan kerja dan pendapatan yang lebih rendah akibat wabak.

Sepanjang tempoh hampir sebulan PKP banyak projek telah ditangguhkan dan mengalami kelewatan dan tempoh kontrak perjanjian dengan para pemaju juga terpaksa dipanjangkan tempohnya.

Bercakap mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Sim menjelaskan bahawa pakej itu meliputi semua lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, pasaran ekonomi negara juga akan menjadi sedikit lembap dalam tempoh enam bulan akan datang kerana banyak negara mengalami pandemik wabak yang sama.

Advertisement