Anda di sini

Polis berkas lelaki muat naik kenyataan kecam pihak berkuasa laksana tugas PKP 

Advertisement
Suspek diberkas di sebuah rumah di Bandar Baharu Semariang.

KUCHING: Seorang lelaki diberkas hari ini gara-gara memuat naik kenyataan mengecam pihak berkuasa yang menjalankan tugas berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata suspek 23 tahun ditangkap di sebuah rumah di Bandar Baharu Semariang sekitar jam 10.40 pagi.

Menurutnya, suspek ditangkap selepas laporan diterima susulan kenyataannya yang juga tidak berpuas dan menghina pihak berkuasa tular sejak Isnin.

"Tangkapan terhadap suspek yang mengecam pihak berkuasa yang menjalankan tugas mengekang penularan virus COVID-19.

"Posting (catatan) dan komennya yang tidak berpuas hati terhadap PKP dan menghina polis, tentera dan RELA tular di media sosial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat penapis air itu akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 505(b) kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menyebarkan kenyataan bersifat palsu dan mengancam orang lain.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM50,000 dan penjara," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement