Anda di sini

Perbicaraan kes rasuah projek solar Rosmah bersambung 15 April 

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor (gambar) berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak, akan bersambung di Mahkamah Tinggi di sini pada 15 April.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata mahkamah memindahkan tarikh perbicaraan yang pada mulanya ditetapkan dari 6 April hingga 14 April, susulan langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April.

"Pihak pendakwaan menerima satu e-mel hari ini yang memaklumkan bahawa perbicaraan yang dijadualkan bersambung pada 6 April sehingga 14 April, ditiadakan.

“Lain-lain tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dari 15 April hingga 16, 20 April hingga 23, dan 28 April hingga 30, dikekalkan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Pihak pembelaan akan meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-12, bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad apabila perbicaraan bersambung di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah, 68, berdepan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017. 

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sebelum ini sepatutnya dibicarakan bersama dengan Rizal, yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan, namun pada 8 Januari lepas mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan.

Rosmah juga menghadapi 12 pertuduhan untuk pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada bulan Mei nanti. - Bernama 

Advertisement