Anda di sini

Penganggur dihukum penjara dua bulan ingkar PKP

Advertisement
 

LAHAD DATU: Seorang penganggur lelaki dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah ingkar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 di sini.

Tertuduh berumur 23 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ryan Sagirann Rayner Jr.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah bergerak dari Kampung Sapagaya Hilir ke kawasan Jalan Pantai yang merupakan tempat dalam kawasan jangkitan.

Tindakan tertuduh itu bukan bertujuan melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tertuduh yang melakukan suatu kesalahan di Jalan Pantai pada 28 Mac jam 11 malam itu boleh dihukum mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwaraya Risal Abd Fikkah memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan kesalahan tertuduh perlu dijadikan pengajaran semua pihak.

Hakim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman mulai tarikh ditangkap.

  • oleh
  • Advertisement