Anda di sini

Nigeria kenakan perintah berkurung di Lagos dan Abuja

Advertisement

ABUJA: Presiden Nigeria Muhammadu Buhari kelmarin mengarahkan pemberhantian semua pergerakan selama dua minggu di bandar raya terbesar Lagos dan ibu negara Abuja untuk menghentikan penularan koronavirus.

“Semua warga di kawasan ini mesti duduk di rumah mereka bermula jam 2200 GMT (semalam),” Buhari mengumumkan dalam satu ucapan televisyen kepada negara.

“Perjalanan berulang alik dari negeri lain harus ditunda.

“Semua perniagaan dan pejabat di dalam lokasi ini harus ditutup sepenuhnya dalam tempoh ini,” tegasnya lanjut.

Buhari berkata, sekatan itu yang turut merangkumi negeri Ogun yang berjiran dengan Lagos, tidak meliputi hospital, kedai makanan atau stesen minyak.

“Walaupun tempat-tempat ini dikecualikan, akses akan dihadkan dan dipantau,” tambahnya.

Nigeria, negara Afrika dengan penduduk paling ramai iaitu kira-kira 190 juta orang, setakat ini mencatatkan hanya 97 jangkitan yang disahkan dan satu kematian akibat COVID-19, tetapi ujian terbatas.

Pegawai memberi amaran bahawa negara itu berisiko menyaksikan peningkatan dalam kes jika kontak pembawa yang disyaki tidak dijejaki dengan lebih cepat.

Pihak berkuasa di Lagos, kota mega dengan 20 juta penduduk, sudah menutup sekolah, kedai bukan makanan dan menyekat perhimpunan untuk membataskan pergerakan.

Menguatkuasakan arahan berkurung sepenuhnya akan menjadi cabaran yang besar bagi pihak berkuasa di negara di mana puluhan juta hidup dalam kemiskinan tegar dan bergantung kepada pendapatan harian untuk hidup.

“Kita menyedari sepenuhnya bahawa langkah sedemikian akan menyebabkan kesusahan dan kesukaran bagi ramai warga. Tetapi ini adalah perkara hidup atau mati,” kata Buhari.

Beliau berkata pihak berkuasa akan menggunakan bahan bantuan untuk menolong rakyat di bandar-bandar sekitar Lagos dan Abuja di mana punca pendapatan terjejas.

Pembayaran kebajikan selama dua bulan untuk golongan paling lemah dan terdedah dalam masyarakat akan dipindahkan segera, kata pemimpin itu.

Gabenor negeri Lagos pada Jumaat lepas mengumumkan program untuk membekalkan makanan asas selama dua minggu kepada 200,000 isi rumah pertama di bandar raya tersebut.

Kerajaan pusat di negara pengeluar minyak terbesar di Afrika sudah berdepan dengan tekanan ekonomi yang teruk selepas pandemik global mencetuskan kejatuhan harga minyak mentah.

Hasil pendapatan kerajaan yang bergantung kepada minyak sudah menjunam dan pegawai menyatakan mereka perlu mengurangkan belanjawan tahun ini. — AFP

Advertisement