Anda di sini

Musim Liga Perdana Inggeris seharusnya dibatalkan: Kane

Advertisement
HARRY KANE
HARRY KANE

LONDON, England: Kapten kelab Tottenham Hotspur, Harry Kane, berkata Ahad lepas di mana musim Liga Perdana Inggeris seharusnya dibatalkan jika tidak dapat ditamatkan menjelang akhir bulan Jun kerana pandemik koronavirus (COVID-19).

Liga Perdana ketika ini digantung sehingga sekurang-kurangnya 30 April kerana penularan COVID-19, dengan kemungkinan penangguhan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Tiada idea jelas bila atau jika bola sepak akan disambung semula, tetapi temasya bola sepak terbesar Eropah, Euro 2020, telah ditangguhkan ke 2021, yang membuka satu ruang untuk menamatkan musim di Eropah sehingga ke musim panas.

Tetapi penyerang antarabangsa England itu tidak mahu pengurusan Liga Perdana membiarkan musim semasa berlarutan selepas bulan Jun atau malah pada permulaan musim baharu 2020-2021 pada bulan Ogos seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak.

“Saya tahu Liga Perdana akan melakukan segala-galanya untuk menamatkan musim dan juga mereka melihat kepada segala pilihan yang ada,” kata Kane dalam perbualan menerusi laman sosial Instagram dengan bekas bintang Liverpool, Jamie Redknapp.

“Saya fikir, kita perlu cuba menamatkan musim tetapi ada keperluan untuk satu masa di mana semuanya sudah cukup.

“Bermain sehingga bulan Julai atau Ogos dan melewatkan permulaan musim baharu, saya tidak melihat sebarang kelebihan di situ. Tetapi sememangnya saya tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir tentang pengurusan dan kewangan.

“Mungkin had bagi saya ialah pada akhir bulan Jun. Jika musim tidak lengkap menjelang akhir bulan Jun, kita perlu melihat pada satu pilihan yang jelas dan kemudian hanya melihat ke hadapan untuk musim baharu.”

Perlawanan-perlawanan Liga Perdana juga mungkin akan dilangsungkan tanpa penonton dalam usaha untuk menamatkan musim sebaik sahaja perintah berkurung di Britain berakhir.

Kane tidak percaya melanjutkan musim akan membantu sesiapa pun terutama sekali jika ia menangguhkan musim hadapan.

“Semakin lama musim ini berlarutan, ia akan memberikan kesan besar ke atas musim hadapan, dengan Euro 2021 dan malah Piala Dunia 2022 tetapi ia hanya pandangan peribadi saya,” kata beliau.

“Isu bola sepak adalah perkara kedua ketika ini. Saya tahu masih ada rancangan yang perlu diatur dan saya pasti semua orang cuba melakukannya.

“Semua itu di luar kuasa kita, tiada apa yang dapat saya lakukan secara peribadi, jadi dari pandangan saya, kita hanya tunggu dan lihat apa yang akan berlaku. Saya berharap ia dapat dileraikan secepat mungkin supaya kita boleh kembali ke kehidupan seperti kebiasaannya.”

Kane juga bercakap tentang masa depannya di kelab dan cita-cita untuk baki kerjayanya.

Beliau menyertai Tottenham pada 2004 sebagai pemain remaja dan membuat penampilan sulung dalam skuad senior pada 2011. Sekarang beliau merupakan kapten England dan menikmati banyak kejayaan peribadi bersama Spurs.

Tetapi beliau masih gagal memenangi sebarang kejuaraan bersama Spurs dan walaupun menyuarakan kesetiaan kepada kelab, persoalan tetap timbul tentang masa depan beliau.

Ditanya lagi oleh Redknapp tentang berapa lama beliau akan terus setia di Tottenham, Kane berkata: “Saya kerap ditanya soalan ini.

“Ia adalah salah satu soalan di mana saya tidak dapat berkata ya atau tidak. Saya menyayangi Spurs tetapi jika saya merasakan kami tidak berkembang sebagai sebuah pasukan atau jika tidak bergerak ke arah yang betul, saya bukan seseorang yang hanya akan kekal kerana kesetiaan. Saya seorang pemain bercita-cita tinggi.”

Kane pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Real Madrid sebelum ini tetapi beliau sentiasa menyuarakan kesetiaannya kepada Spurs, yang kini dibimbing Jose Mourinho.

Kane memenangi dua anugerah Kasut Emas Liga Perdana selaku penjaring terbanyak liga dan juga anugerah penjaring terbanyak di Piala Dunia 2018.

Namun pemain berusia 26 tahun itu berkata beliau lebih suka memenangi Liga Perdana berbanding menjadi penjaring terbanyak liga dan mengatasi rekod Alan Shearer.

Apabila ditanya tentang perbandingan itu, Kane berkata: “Sudah tentu saya mahu memenangi Liga Perdana. Saya mempunyai beberapa kejayaan individu tetapi saya bermain sukan ini untuk menang secara berpasukan. Saya pasti ia memberikan lebih kegembiraan berbanding mengatasi rekod peribadi.”

Alan Shearer masih memegang rekod penjaring gol terbanyak Liga Perdana dengan 260 gol dan Kane berada di kedudukan ke-13 dengan 136 gol setakat ini. — AFP

Advertisement