Anda di sini

Kejohanan Olahraga Masters penghujung tahun

Advertisement
DAVID WILLIAM
DAVID WILLIAM

KOTA KINABALU: Kejohanan-kejohanan untuk atlet olahraga veteran (Masters) negeri ini mungkin hanya akan ada pada penghujung tahun ini ekoran pandemik wabak COVID-19.

Presiden Persatuan Olahraga Masters Sabah (SAMAS), David William berkata, beberapa kejohanan dalam dan luar negara yang sepatutnya disertai atlet mereka pada Mac dan April telah dibatalkan.

David berkata, Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Sabah (SAMOC) 2020 yang sepatutnya berlangsung di sini pada Julai juga telah ditunda.

"Kejohanan (SAMOC) tahun ini sepatutnya berlangsung di Stadium Likas pada 4-5 Julai tetapi seperti yang kita maklum, sedangkan Sukan Olimpik dan beberapa kejohanan antarabangsa lain juga telah ditunda atau dibatalkan ekoran pandemik wabak COVID-19, jadi kami tidak ada pilihan selain turut mengambil tindakan sama.

"Kami belum lagi memutuskan tarikh baru, Kami akan cuba jadualkannya pada Oktober tetapi inipun akan bergantung kepada situasi pada masa itu nanti.

"Pengumuman penundaan SAMOC ini amat dikesali. Kami berharap semua yang terlibat memahami dan saya juga meminta agar semua atlet terus berlatih bagi pastikan mereka sentiasa di tahap terbaik dan bersedia apabila kejohanan ini akan dilangsungkan," kata David.

Menurutnya, mereka menjangkan SAMOC akan disertai lebih ramai berbanding 700 peserta yang diterima tahun lalu.

"Respon kejohanan pada tahun ini amat positif. Filipina telah membayangkan akan menghantar kontinjen lebih besar tahun ini selepas acara lompat bergalah diperkenalkan tahun lalu.

"Indonesia dan Singapura juga telah menyatakan minat untuk mengambil bahagian. Dengan bertambahnya kelab veteran di negeri ini, kami sebenarnya menjangkakan penyertaan lebih ramai tahun ini," katanya.

Sambil itu, kira-kira 30 atlet SAMAS terpaksa melupakan hasrat menyertai Kejohanan Olahraga Masters Thailand Ke-24 yang sepatutnya berlangsung pada 6-8 Mac lalu selepas penganjur membuat keputusan melarang penyertaan peserta luar negara disebabkan wabak COVID-19.

"Penerbangan atlet kami sepatutnya pada 4 Mac sebelum dimaklumkan secara rasmi keputusan penganjur melarang penyertaan luar negara pada hari yang sama. Oleh itu kami tiada pilihan selain dari membatalkan penerbangan itu," katanya.

David berkata, Kejohanan Olahraga Masters Melaka yag sepatutnya berlangsung April ini juga telah dibatalkan.

"Oleh itu, kami mungkin hanya ada Sabah Masters dan Malaysia Masters pada penghujung tahun ini untuk disertai," katanya.

  • oleh
  • Advertisement