Anda di sini

Ingkar PKP: Dua majikan dihukum penjara, denda

Advertisement
 

LAHAD DATU: Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman dua bulan penjara dan denda RM1,000 terhadap dua orang majikan sebuah syarikat yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini.

Tertuduh yang merupakan adik-beradik berumur 51 dan 48 tahun masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Ryan Sagirann Rayner Jr.

Pertuduhan kes dibacakan Pegawai Pendakwa Risal Abd Fikkah di hadapan tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati membuka operasi premisnya yang terletak di Dam Industrial Centre Jalan Dam yang tidak menyediakan perkhidmatan perlu mengikut arahan PKP seperti yang dinyatakan dalam Jadual Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, dalam suatu kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah.

Tertuduh didapati telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Hakim memerintahkan denda yang dikenakan perlu dibayar jika tidak dipenjara sebulan lagi.

  • oleh
  • Advertisement