Anda di sini

Had umur tentukan tarikh baharu

Advertisement
 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (lima kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah (lima, kanan) bergambar selepas menyampaikan watikah jemputan rasmi kepada kontinjen negeri Terengganu sempena SUKMA Johor 2020 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 9 Mac lepas.  —Gambar AFP
DINILAI SEMULA: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (lima kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah (lima, kanan) bergambar selepas menyampaikan watikah jemputan rasmi kepada kontinjen negeri Terengganu sempena SUKMA Johor 2020 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 9 Mac lepas. —Gambar AFP

KUALA LUMPUR: Penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 memberi jaminan temasya itu tidak akan diadakan pada Disember tahun ini, kerana ia akan membantutkan persediaan atlet yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Johor On Jabbar @ Ja’afar berkata, beberapa aspek utama akan diambil kira dalam memilih tarikh baharu, yang dijangka diputuskan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik.

Selain SPM, beliau berkata pihaknya juga mengambil kira faktor Monsun Timur Laut dari November hingga Mac, yang berisiko hujan berpanjangan dan banjir di beberapa negeri, termasuk Johor, dengan tumpuan akan terarah dalam membantu mangsa banjir.

“SPM hanya akan berakhir pada 7 Disember selepas Kementerian Pendidikan menjadualkan semula peperiksaan awam. Jika kita anjurkan SUKMA pada Disember, ia memberi impak terhadap persediaan atlet.

“Kontinjen Johor sendiri mempunyai 106 atlet yang akan menduduki peperiksaan SPM, saya rasa negeri lain juga mempunyai bilangan hampir sama. SPM bakal menentukan masa depan dan arah tuju mereka...tidak patut digadaikan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Rabu lepas, mengumumkan SUKMA 2020, yang pada awalnya dijadual bermula 11 hingga 19 Julai ini, terpaksa ditunda atas faktor keselamatan dan kesihatan berikutan ancaman COVID-19.

On berkata antara aspek utama diambil kira sebelum menentukan tarikh baharu ialah, pengisytiharan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa situasi negara selamat daripada pandemik itu, selain mendapat persetujuan daripada semua pihak, terutamanya Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menilai aspek lain seperti venue, peralatan dan juga teknikal, termasuk had umur jika temasya dwitahunan itu diadakan pada 2021, kerana ramai pihak sudah menyuarakan kebimbangan masing-masing terhadap perkara tersebut.

“Tidak adil kepada atlet yang sudah membuat persediaan lebih kurang dua tahun bagi temasya itu, jika mereka tidak dibenarkan beraksi kerana had umur SUKMA adalah 21 tahun ke bawah, manakala terdapat sukan seperti gimnastik yang menetapkan umur 15 tahun ke bawah.

“Perkara seperti ini (had umur) boleh dipertimbangkan, kerana penundaan ini di luar jangkaan kita. Apa jua keputusan yang dibuat, mesti mendapat persetujuan daripada semua pihak,” katanya.

Beliau turut mengakui penyediaan venue, yang kini mencapai 85 peratus mungkin mengalami sedikit kelewatan, kerana semua kerja-kerja pembinaan diberhentikan dalam tempoh PKP, sedangkan jika mengikut jadual awal, kesemua 39 venue sepatutnya siap sepenuhnya sebelum Mei ini. — Bernama

Advertisement