Anda di sini

Bantuan makanan bernilai RM16.4 juta diagihkan dalam minggu ini

Advertisement
 

MUKAH: Bantuan makanan bernilai RM16.4 juta daripada kerajaan negeri Sarawak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diagihkan dalam minggu ini, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah (gambar).

Menurutnya, ia akan diagihkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Bahagian dan Daerah serta wakil rakyat masing-masing.

Menurutnya, tumpuan bantuan akan diberikan kepad isi rumah berpendapatan rendah atau tidak mempunyai pendapatan tetap. Golongan ini katanya adalah golongan yang paling terjejas ketika PKP.

"Apa yang penting, setiap keluarga itu akhirnya dapat bantuan dan ada makanan di atas meja makan mereka masing-masing," katanya pada sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah di sini, hari ini.

Bantuan makanan diberikan adalah makanan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan barang-barang yang difikirkan perlu dan terpulang dengan urustadbir jawatankuasa di peringkat bahagian, daerah, atau wakil rakyat.

Sementara itu, bantuan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga diperlukan untuk memastikan semua bekalan makanan cukup ketika sepanjang tempoh PKP dan juga persediaan musim perayaan.

"Kita telah kenal pasti sebanyak 800 pusat jualan seluruh negeri ini untuk memastikan keperluan serta bekalan makanan sentiasa mencukupi," ujarnya.

Turut hadir Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abdul Wahab dan semua jawatankuasa terlibat.