Anda di sini

AME 2020 salurkan kutipan SMS ke Tabung Bantuan Frontliners COVID-19

Advertisement
 

SELEPAS melihat kepada situasi pandemik COVID-19 di Malaysia, pihak produksi Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) baru-baru ini mengumumkan akan menyalurkan kutipan terkumpul dari undian fasa kedua menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ke Tabung Bantuan Frontliners COVID-19 yang dikendalikan oleh Sinar Harian.

Seiring dengan keputusan yang dibuat ini, kesemua kaedah talian undian fasa kedua bagi penganjuran AME 2020 juga akan ditutup secara rasmi pada 31 Mac 2020 (hari ini), jam 6.00 petang.

Ini termasuklah undian menerusi kiriman SMS, mahupun di platform online www.anugerahmeletopera.com.my dan di aplikasi SYOK. Kutipan yang bakal disalurkan adalah dari undian SMS sejak pembukaan fasa kedua yang bermula pada 3 Mac lalu sehingga tarikh tutup undian pada hari ini.

Kiraan penuh undian untuk penganjuran AME 2020 akan dibuat selepas talian undian ditutup, mengikut kepada perancangan asal.

Pengumuman terkini berkenaan tarikh baharu, lokasi dan butiran lanjut mengenai penganjuran AME 2020 hanya boleh dibuat apabila situasi getir kemelut pandemik COVID-19 pada ketika ini kembali reda.

Pihak AME 2020 ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah mengundi kerana anda telah memberi sumbangan kepada Tabung Bantuan Frontliners COVID-19 melalui kiriman SMS anda.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Astro sebelum ini, pelbagai kelainan dan kejutan sudahpun mereka bawakan bagi memastikan AME kekal relevan dan terus menjadi antara majlis penganugerahan yang paling ditunggu-tunggu oleh para peminat termasuklah golongan artis dan selebriti.  

Bagi memantapkan lagi kandungan penganjuran tahun ini agar seiring dengan perubahan landskap industri seni hiburan tanah air, dua buah kategori baharu yang termasuk dalam senarai kategori utama turut diperkenalkan iaitu ‘Artis Versatil MeleTOP’ dan ‘Influencer MeleTOP’ yang dibawakan oleh aplikasi SYOK.

Manakala sebuah lagi kategori baharu yang turut diperkenalkan pada edisi kali ini ialah ‘Top Top MeleTOP (Grup/Duo)’.

Untuk kategori ini, pemilihan pemenang adalah ditentukan berdasarkan grup/duo yang menerima jumlah undian tertinggi di kalangan calon lima terbaik untuk kategori utama.

Sementara itu, tiga buah kategori yang sedia ada pula digugurkan daripada senarai utama untuk edisi kali ini iaitu ‘Program Radio MeleTOP’, ‘Penyampai Radio MeleTOP’ dan ‘Artis Lawak MeleTOP’.

Menerusi kolaborasi hit bersama ERA, senarai pencalonan untuk tiga buah kategori utama disuntik penjenamaan semula iaitu ‘Lagu MeleTOP ERA’, ‘Penyanyi MeleTOP ERA’ dan ‘Grup/Duo MeleTOP ERA’ yang disenarai pendek berdasarkan Carta ERA sepanjang tahun 2019.

Bertemakan ‘Yang Epik, Yang Legend’, Anugerah MeleTOP Era edisi ketujuh pada tahun ini bakal menggandingkan selebriti versatil, Nabil Ahmad dan Jihan Muse selaku hos utama.

AME 2020 mengikut perancangan awal akan dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad, 12 April depan, jam 9.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) selain turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Go dan on demand.

Untuk sebarang informasi terkini mengenai AME 2020, sila layari www.anugerahmeletopera.com.my.

Advertisement