Anda di sini

Trump batalkan kuarantin New York

Advertisement
 Suasana di sekitar 42nd Street ketika hujan di Kota New York, kelmarin. — Gambar AFP
LENGANG: Suasana di sekitar 42nd Street ketika hujan di Kota New York, kelmarin. — Gambar AFP

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memutuskan kelmarin untuk membatalkan perintah berkurung umum selama dua minggu ke atas negeri New York, New Jersey dan beberapa bahagian di Connecticut selepas mendapat bantahan lantang para pemimpin politik tempatan dan amaran tentang huru-hara yang boleh dicetuskannya.

“Kuarantin tidak perlu,” ciap Trump, kira-kira lapan jam selepas mengejutkan wilayah metropolitan New York, pusat wabak koronavirus COVID-10 di AS, dengan cadangan untuk meletakkannya di bawah kuarantin supaya penduduk tidak meninggalkan wilayah tersebut.

Trump sebelum itu membayangkan beliau akan menangani kebimbangan negeri lain khususnya Florida bahawa pelawat dari kawasan tengah bandar raya New York menyebarkan COVID-19 dalam masyarakat mereka.

Beliau memberitahu pemberita bahawa warga New York yang teruk dijangkiti mengancam Florida, destinasi percutian popular di selatan negara bagi rakyat dari bahagian timur laut.

Namun selepas amaran tegas Gabenor New York Andrew Cuomo dan Gabenor New Jersey Ned Lamont bahawa tindakan itu akan mencetuskan huru-hara dan menyebabkan kerosakan selanjutnya kepada pasaran kewangan, Trump bertukar fikiran dan berkata hanya amaran perjalanan dikenakan ke atas wilayah itu.

“Menurut saranan Pasukan Petugas Coronavirus Rumah Putih, dan selepas berunding dengan gabenor-gabenor New York, New Jersey dan Connecticut, saya telah meminta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS untuk mengeluarkan nasihat perjalanan yang tegas untuk ditadbirkan gabenor dalam konsultasi dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kuarantin tidak perlu,” katanya dalam beberapa ciapan.

Negeri New York melaporkan lebih 53,000 kes koronavirus baharu, daripada lebih 122,000 di seluruh negara.

Kota New York sahaja melaporkan 155 kematian kelmarin, menjadikan jumlah kematian keseluruhan di bandar raya tersebut mencecah 617, lebih satu pertiga daripada 2,147 kematian di seluruh AS, menurut data dari Universiti Johns Hopkins.

Negeri jiran New Jersey melaporkan lebih 11,100 kes COVID-19.

Arahan berkurung ke atas kawasan seperti kawasan yang dipertimbangkan Trump merupakan langkah paling keras setakat ini yang diambil kerajaan AS untuk memperlahankan penularan penyakit itu.

Cuomo memberitahu CNN sebelum ini bahawa arahan berkurung ke atas perjalanan keluar masuk dari hab perdagangan dan kewangan global itu menyalahi undang-undang atau tidak masuk akal terutamanya memandangkan kawalan tempatan ke atas pergerakan sudah dilaksanakan.

“Kenapakah anda mahu hanya mencetuskan huru-hara sepenuhnya untuk memburukkan lagi pandemik, saya tidak tahu,” katanya.

“Bandar raya New York, New Jersey dan selatan Connecticut merupakan ibu kota dunia perdagangan dan kewangan.

“Jika anda mengambil berat seperti presiden untuk menggerakkan lagi ekonomi ini, anda mesti sangat berhati-hati tentang apa yang anda sebut dan apa yang anda tidak sebut,” kata Lamont.

Namun Trump dipercayai turut mengambil kira tentang kebimbangan mengenai penularan koronavirus di negeri lain yang boleh diburukkan lagi oleh pelawat dari New York.

Di Rhode Island, kira-kira 210 kilometer ke timur laut bandar raya New York, polis dan pengawal negara mengetuk pintu rumah di mana kereta mempamerkan plat lesen New York untuk mengingatkan mereka tentang keperluan bagi kuarantin diri.

Florida mempunyai populasi pesara yang besar tetapi setakat ini hanya melaporkan lebih 4,000 kes koronavirus.

Gabenor Florida Ron DeSantis, sekutu politik Trump, mengeluarkan arahan eksekutif pada minggu ini untuk mewajibkan kuarantin diri selama dua minggu bagi sesiapa yang tiba dari New York dan Louisiana, satu lagi daerah tumpuan utama penyakit berkenaan di AS.

Beliau berkata, polis akan memasang pos pemeriksaan di sepanjang sempadan negeri untuk mengingatkan orang tentang keperluan tersebut.

“Apa yang kita cuba buat adalah memastikan penduduk kita di sini selamat.

“Jika anda datang dari salah satu pusat tumpuan utama, jangan datang ke sini kerana kita cuba melindungi warga kita,” katanya. — AFP

Advertisement