Anda di sini

Sukan Olimpik Tokyo Julai 2021

Advertisement
 Mori (dua kiri) bersama Bach (dua kanan) dan Abe (kanan) ketika menghadiri upacara menandakan satu tahun tempoh bermulanya Sukan Olimpik Tokyo 202 di Tokyo, Jepun dalam gambar fail bertarikh 24 Julai 2019. —Gambar AFP
TARIKH BAHARU: Mori (dua kiri) bersama Bach (dua kanan) dan Abe (kanan) ketika menghadiri upacara menandakan satu tahun tempoh bermulanya Sukan Olimpik Tokyo 202 di Tokyo, Jepun dalam gambar fail bertarikh 24 Julai 2019. —Gambar AFP

TOKYO, Jepun: Penganjur Sukan Olimpik Tokyo mengintai tarikh pada bulan Julai tahun hadapan untuk temasya sukan tahun ini yang terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan ekoran pandemik koronavirus (COVID-19),  menurut laporan media Jepun semalam.

Dengan melihat penularan serius COVID-19 ke seluruh dunia dan masa yang diperlukan untuk persiapan atlet, tarikh yang paling sesuai untuk jadual baharu penganjuran Sukan Olimpik ialah pada 23 Julai 2021, menurut penyiaran awam Jepun, NHK, ketika merujuk sumber dalam panel penganjur.

Ia hadir selepas Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, membangkitkan idea itu Jumaat lepas untuk memindahkan temasya ke tahun yang kurang panas dan lembab.

Beliau berkata ini akan menjadikan acara maraton dan perlumbaan terbuka lain lebih mudah diharungi, bermakna ia boleh diadakan di ibu kota Tokyo berbanding di bandar raya di utara negara itu, Sapporo, di mana Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah membuat keputusan untuk memindahkannya.

Pasukan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diketuai Yoshiro Mori, ketika ini sedang membincangkan kemungkinan tarikh penganjuran dengan IOC, menurut akhbar Asahi Shimbun.

Sabtu lepas, Mori memberitahu sebuah stesen TV Jepun di mana “sebarang kesimpulan” akan dicapai dalam tempoh seminggu.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada asalnya dijadualkan pada 24 Julai tahun ini dengan Sukan Paralimpik diadakan pada 25 Ogos tetapi Jepun mengumumkan minggu lalu di mana ia sudah mencapai persetujuan dengan IOC untuk menangguhkannya ke tahun hadapan – satu keputusan yang tidak pernah berlaku dalam era aman.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata temasya sukan terbesar dunia itu akan diadakan pada tahun hadapan sebagai bukti kemenangan kemanusiaan ke atas pandemik ini.

Sebelum itu, presiden IOC, Thomas Bach bertegas untuk meneruskan penganjuran temasya itu pada tarikh asalnya dengan pilihan lain untuk menangguhkan tarikh penganjuran ketika tekanan dari banyak pihak untuk keputusan penangguhan dibuat segera.

Sementara itu, NHK berkata obor Olimpik akan dipamerkan selama sebulan di kompleks sukan J-Village di Fukushima, yang digunakan sebagai pangkalan ribuan pekerja bantuan dalam pakaian perlindungan radiasi semasa bencana nuklear pada 2011. — AFP

Advertisement