Anda di sini

Lelaki rempuh sekatan jalan raya PKP dihantar ke Hospital Sentosa

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengarahkan seorang lelaki yang merempuh sekatan jalan raya pada Sabtu lalu dihantar ke Hospital Kota Sentosa untuk menjalani pemerhatian selama sebulan. 

Majistret Zaiton Anuar menetapkan 30 April depan sebagai tarikh sebutan kes berikutnya terhadap Mohd Ruzaiman Mahli, 29, yang didakwa atas tiga pertuduhan. 

Bagi pertuduhan pertama, lelaki yang bekerja sebagai pemunggah barang kargo itu didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bergerak dari Jalan Batu 10 ke Batu 11, yang berada dalam kawasan jangkitan. 

Dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 3 (1) dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7(1) akta sama. 

Pertuduhan seterusnya menyaksikan tertuduh dari Jalan Landeh itu didakwa menghalang penjawat awam iaitu ASP Manja Ungkar yang sedang menjalankan pemeriksaan di sekatan jalan raya PKP di Batu 11, Jalan Kuching-Serian.

Bagi perbuatan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. 

Kedua-dua perbuatan terbabit didakwa dilakukannya pada 28 Mac lalu, jam 6.35 pagi. 

Bagi pertuduhan seterusnya, dia didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 254) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama kerana melakukan kesalahan memiliki 1.0 gram dadah jenis Metamfetamina. 

Dia didakwa melakukan perbuatan terbabit pada hari yang sama, jam 7 pagi di Batu 13, Jalan Kuching-Serian. 

Menurut fakta kes, polis menemui satu bungkusan plastik kecil lutsinar berisi ketulan hablur jernih di bawah tempat duduk pemandu kereta. 

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Danial Ilham Kamaruddin dan Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang. 

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement