Anda di sini

Lelaki rempuh sekatan jalan PKP, tunjuk isyarat lucah dipenjara enam bulan

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki dihukum penjara enam bulan dan denda RM500 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Batu Niah kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas sambil menunjukkan isyarat lucah serta melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 25 Mac lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad setelah meneliti pelbagai faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Frankie Micheal Sugai Michan, 26, dari Sg. Lamaus Ulu Niah didakwa mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana menghalang seorang penjawat awam, Sarjan Mohd Sahizad daripada melakukan tugas rasmi iaitu mengadakan sekatan jalan sambil menunjukkan isyarat lucah kepada pegawai polis terbabit.

Seksyen 186 memperuntukkan penjara dua tahun atau denda RM10,000, manakala Seksyen 509 boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 10.15 pagi, 25 Mac lalu di KM96 Jalan Miri-Bintulu.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan dihukum di bawah Seksyen 7 (1) peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, Frankie didapati berjalan keluar dari rumahnya di Rumah Sube, Sg. Lamaus Ulu Niah ke KM96 Jalan Miri-Bintulu yang terletak di kawasan terjejas tanpa alasan munasabah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.15 pagi, 25 Mac lalu.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga bulan. Manakala bagi tuduhan ketiga, tertuduh didenda RM500 atau sebulan penjara.

Sementara di mahkamah sama, isteri tertuduh, Shuzie Asoi, 23, yang didakwa atas kesalahan serupa iaitu melanggar PKP turut didenda RM500 atau lima minggu penjara.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mohamed, manakala pasangan suami isteri terbabit tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement