Anda di sini

Korea Utara lancar dua lagi misil balistik

Advertisement
 Seorang wanita melintasi skrin televisyen memaparkan rakaman fail ujian misil Korea Utara di sebuah stesen kereta api di Seoul, semalam. — Gambar AFP
PELANCARAN KEEMPAT: Seorang wanita melintasi skrin televisyen memaparkan rakaman fail ujian misil Korea Utara di sebuah stesen kereta api di Seoul, semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Korea Utara melancarkan apa yang dipercayai sebagai dua misil balistik jarak pendek di perairan pantai timur semalam, pelancaran keempat seumpamanya pada bulan ini ketika dunia memerangi wabak koronavirus COVID-19.

Siri latihan senjata itu diadakan ketika penangguhan yang lama dalam rundingan pelucutan senjata dengan Amerika Syarikat (AS) berlarutan, walaupun Washington menawarkan bantuan baru-baru ini untuk membantu membendung pandemik tersebut.

Ketua-ketua Turus Angkatan Tentera Korea Selatan berkata, Korea Utara melepaskan dua projektil yang diandaikan misil balistik, dari kota pelabuhan Wonsan ke dalam Laut Jepun, juga dikenali sebagai Laut Timur.

“Tindakan ketenteraan sedemikian oleh Korea Utara merupakan satu tindakan yang amat tidak wajar sewaktu seluruh dunia menghadapi kesusahan kerana wabak COVID-19,” mereka menambah dalam satu kenyataan.

Kementerian pertahanan Tokyo berkata, projektil tersebut jatuh tidak jauh dari perairan Jepun dan zon ekonomi eksklusif negara tersebut.

Korea Utara yang memiliki senjata nuklear belum lagi mengeluarkan kenyataan mengenai misil semalam tetapi mengaitkan tiga pelancaran lain pada bulan ini, kesemuanya terjatuh di Laut Jepun, dengan latihan artileri jarak jauh.

Pada minggu lepas ia menembak apa yang menurut Seoul adalah dua misil balistik jarak pendek, yang digambarkan sebagai senjata berpandu taktikal baharu.

Media kerajaan Korea Utara mengumumkan pada hari berikutnya bahawa pemimpin negara Kim Jong Un menerima surat daripada Presiden AS Donald Trump yang memperincikan rancangan untuk membina hubungan, yang kemudian disahkan pegawai Rumah Putih.

Laporan itu memetik adik perempuan berpengaruh Kim, Kim Yo Jong, memberi amaran bahawa hubungan peribadi yang nampak baik di antara kedua-dua pemimpin tidak memadai untuk memupuk hubungan lebih luas.

Trump menjelaskan rancangannya untuk mendorong hubungan di antara kedua-dua negara dan menyuarakan hasratnya untuk memberikan kerjasama dalam kerja antiwabak, beliau menyebut dalam satu kenyataan yang diterbitkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Korea Utara antara beberapa negara di dunia yang belum melaporkan sebarang kes jangkitan COVID-19 tatkala dunia mengalami krisis antarabangsa yang besar, dengan lebih 640,000 kes yang disahkan dan 30,000 kematian di seluruh dunia.

Spekulasi meluas juga tersebar bahawa virus itu sudah sampai di negara terasing itu dan pakar kesihatan memberi amaran ia boleh memusnahkan negara itu memandangkan ia memiliki infrastruktur perubatan lemah dan malnutrisi meluas.

Pelancaran semalam bertujuan untuk menunjukkan aktiviti di seluruh negara berjalan seperti biasa pada waktu pandemik, kata Kim Dong-yub, selaku penyelidik di Institut Kajian Timur Jauh di Seoul.

Penganalisis berkata Korea Utara terus memperhalusi keupayaan senjatanya lebih setahun selepas kegagalan sidang kemuncak di antara Kim dan Trump di Hanoi.

Sejak itu rundingan buntu berhubung penarikan balik sekatan dan apa yang sanggup dilepaskan oleh Korea Utara sebagai balasan, walaupun satu mesyuarat berprofil tinggi pada Jun lalu dalam Zon Bebas Tentera yang memisahkan semenanjung Korea.

Pada masa lalu Korea Utara melepaskan misil yang berupaya sampai ke seluruh tanah besar AS dan melancarkan enam ujian nuklear, yang terkini dianggarkan 16 kali lebih kuat daripada letupan di Hiroshima. — AFP

Advertisement