Anda di sini

Pakej PRIHATIN: Gabungan strategi pacu pertumbuhan, kesejahteraan rakyat

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion boleh disifatkan sebagai ‘serampang dua mata’ apabila menggabungkan strategi memacu pertumbuhan dan berpaksikan rakyat bagi menyokong ekonomi serta menjaga kesejahteraan orang ramai.

Malah, pendekatan bersepadu itu dapat membantu perniagaan selain meringankan beban kewangan rakyat dalam jangka panjang dan pendek, terutamanya dalam situasi penularan COVID-19 dan kesannya terhadap aktiviti ekonomi.

Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkasa usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dijangka menyumbang sebanyak 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Seakan mengerti keresahan kalangan perniagaan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menangani kebimbangan mengenai isu aliran tunai dihadapi syarikat-syarikat dengan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan yang membolehkan pelarasan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pengecualian bayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Pada masa sama, PKS dibenarkan menangguhkan bayaran ansuran bulanan cukai pendapatan selama tiga bulan mulai 1 April 2020, dalam usaha mengurangkan bebanan mereka.

Menerusi ucapan selama 40 minit itu, Perdana Menteri turut berkongsi berita baik apabila sektor yang terjejas boleh meminda jumlah cukai pendapatan boleh bayar bagi ansuran ketiga, keenam dan kesembilan bagi tempoh asas tahun taksiran.

Langkah sedemikian sudah pastinya dapat membantu syarikat-syarikat terbabit mengekalkan pekerja masing-masing selain menjamin kelangsungan perniagaan.

Apa yang pasti, beliau mengotakan janji bahawa tiada sesiapa pun akan ketinggalan apabila mengumumkan pemberian kelonggaran moratorium itu turut diperluaskan dengan meliputi pinjaman TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat atau MARA, koperasi dan agensi kerajaan mulai 1 April ini.

Antara langkah signifikan lain adalah kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada jumlah pinjaman bagi tujuan membiayai keperluan modal kerja.

Skim yang akan diuruskan dan tertakluk kepada penilaian kredit oleh Danajamin Nasional Bhd, bertujuan membantu perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Bagi membantu menangani pandemik itu, Muhyiddin berkata kerajaan turut memperuntukkan tambahan RM1 bilion untuk Kementerian Kesihatan bagi pembelian peralatan serta keperluan perkhidmatannya.

Tegas Perdana Menteri, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah membendung pandemik tersebut.

Selain itu, menyelami serta memahami kesukaran pekerja swasta, kerajaan turut memperkenalkan program subsidi upah bagi membantu majikan mengekalkan pekerja mereka dengan peruntukan RM5.9 bilion bagi membantu majikan mengekalkan khidmat pekerja mereka.

Menyentuh kebimbangan mengenai keupayaan kerajaan memenuhi semua permintaan dalam keadaan berdepan kekangan fiskal, Muhyiddin berkata pakej tersebut berdasarkan kemampuan fiskal semasa negara dan mudah tunai pasaran wang yang mencukupi.

“Hampir semua langkah-langkah ini adalah ‘one-off’ (sekali bayar) agar tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka pertengahan,” katanya.

Malah, tegas Perdana Menteri, kerajaan telah membuat pertimbangan sewajarnya bagi memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara mampu diuruskan.

Terbukti, kesungguhan kerajaan melaksanakan pendekatan komprehensif bagi menangani cabaran semasa dan merangsang ekonomi, mendapat sokongan awal dalam bentuk prestasi dagangan Bursa Malaysia yang mencatat peningkatan merentasi indeks dengan indeks penanda aras FBM KLCI menokok 15.00 mata kepada 1,343.09.

Prestasi ringgit juga tidak terkecuali apabila mengukuh berbanding dolar AS pada paras 4.3280/3350 daripada 4.3300/3400 sewaktu ditutup pada Khamis.

Jelaslah, vaksin bernilai RM250 bilion yang diumumkan kelmarin sememangnya menjadi pakej wajar dan amat diperlukan dalam memerangi bukan sahaja pandemik, malah menyuntik rangsangan kepada ekonomi yang terjejas oleh COVID-19. — Bernama

Advertisement