Anda di sini

Jawatankuasa Respon Bencana Kecemasan ditubuh untuk bantu barisan hadapan HUS

Advertisement
Wee (empat kanan duduk) bersama ahli Jawatankuasa Respon Bencana Kecemasan yang lain.
Wee (empat kanan duduk) bersama ahli Jawatankuasa Respon Bencana Kecemasan yang lain.

KUCHING: Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Sarawak menubuhkan Jawatankuasa Respon Bencana Kecemasan untuk mengumpul dana bagi membantu petugas barisan hadapan di Hospital Umum Sarawak.

Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Sarawak, Dato Richard Wee dalam satu kenyataan, langkah itu bagi membantu kakitangan perubatan mengekang pandemik COVID-19.

"Kita mengumpul dana sebagai sokongan kepada barisan hadapan iaitu kakitangan perubatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dalam bentuk penutup mulut dan hidung, pakaian dan kasut pelindung, dan bekalan perubatan.

"Pada masa yang sama, makanan dan keperluan harian yang lain juga disediakan bersama keperluan lain," katanya hari ini.

Menurutnya, selepas hampir dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, pihaknya turut dihubungi oleh orang ramai yang meminta sumbangan bekalan makanan harian.  

Mengikut arahan sepanjang tempoh PKP katanya, pihaknya menjalankan kerjasama dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.

Orang ramai yang memerlukan bantuan keperluan harian itu dinasihatkan untuk menghubungi JKM di talian 082-449577 atau 082- 444139 atau datang terus ke Wisma Kebajikan, Lot 4273, Blok 14, Jalan Siol Kanan di sini.

Beliau turut megingatkan penutup mulut dan hidung yang diterima daripada kerajaan persekutuan diberikan keutamaan kepada mereka di barisan hadapan, dan bukan untuk dijual kepada individu.

Para dermawan yang ingin menyumbang boleh membuat kiriman wang ke akaun milik Jawatankuasa Respon Bencana Kecemasan di 01600206296 (Hong Leong Bank).

Semua sumbangan dan bekalan hendaklah dihantar terus ke 'Pusat Pengumpulan' yang ditubuhkan oleh pihaknya dan tidak membenarkan mana-mana individu atau pertubuhan lain menjalankan urusan berkenaan bagi pihaknya.

Pihaknya beroperasi pada hari Isnin hingga Sabtu bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang; Ahad: 10 pagi hingga 2 petang atau menelefon ke talian 016-8559581 atau 012-8817778.

  • oleh
  • Advertisement