Anda di sini

Tawarkan lebih bantuan selain pinjaman kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana - PSB

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan Persekutuan digesa menyediakan lebih banyak bantuan selain daripada menawarkan pinjaman kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kerana ia tidak menjamin kelangsungan perniagaan.

Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam satu kenyataan media berkata PKS memerlukan subsidi langsung dengan segera dari pembayaran gaji, sewa, utiliti dan pinjaman yang tidak ditawarkan.

“Jangan biarkan PKS jatuh (bankrap) dan penggangur semakin meningkat kerana, ia sudah terlambat untuk memulihkan kembali ekonomi,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, PSB kesal Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri tidak memberikan bantuan sebenar kepada PKS seperti yang diminta parti sebelum ini.

Ia menyatakan hanya subsidi gaji yang dibayar kepada pekerja berjumlah maksimum RM600 sebulan untuk mereka yang berpendapatan sehingga RM4,000 sebulan, tetapi majikan mesti membuktikan bahawa hasil perniagaan mereka telah jatuh sekurang-kurangnya 50 peratus sejak Januari 2020.

“Apabila perniagaan menunjukkan tahap penurunannya (perniagaan), ia hanya akan dilihat pada akaun April, jadi tidak ada subsidi yang berkesan sekarang.

“Subsidi sangat rendah sehingga PKS mungkin lebih baik untuk memberhentikan pekerja daripada menyimpannya dan membayar sebahagian besar gaji pekerja yang terpaksa mengambil cuti kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Majikan juga dilarang untuk menolak tempoh cuti ini terhadap kelayakan cuti pekerja,” katanya.


Kesimpulannya, perniagaan swasta membawa beban keseluruhan penghentian perniagaan disebabkan PKP dengan hampir tidak ada bantuan sama sekali daripada kerajaan selain tawaran untuk menyediakan lebih banyak pinjaman, tambah PSB.

“Dalam tempoh krisis ini di mana pendapatan PKS telah jatuh ke sifar atau hampir sifar untuk kebanyakan perniagaan, pemilik perniagaan mahu mengambil lebih banyak pinjaman untuk membayar gaji dan sewa apabila tidak ada pendapatan?

“Jangan lupa bahawa mana-mana pinjaman yang diambil perlu dibayar balik dengan faedah dan tidak ada cara untuk mengetahui jika dan apabila perniagaan boleh diteruskan semula.

“Dan apabila ia (perniagaan) diteruskan, tidak ada cara untuk mengetahui apakah perniagaan itu dapat bertahan berikutan kemelesetan ekonomi,” ujarnya.

PSB berpendapat adalah lebih bagus jika perniagaan ditutup bagi mengurangkan kos kerugian.

“Pendek kata, menawarkan pinjaman kepada PKS bukanlah jawapan kepada masalah itu,” tegasnya.

PSB memetik Jabatan Perangkaan apabila ia menyatakan 98.5 peratus pertubuhan perniagaan di Malaysia adalah PKS dan mereka terdiri daripada semua saiz dan sektor.

“PKS juga menyumbang 65 peratus daripada tenaga kerja  negara.

“Justeru, jika PKS mengalami kerugian yang tidak dapat dielakkan, menyebabkan ramai akan kehilangan kerja. Melihat kepada statistik, ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia bergantung kepada PKS dan kejatuhan ini akan menyebabkan jutaan rakyat Malaysia dalam kesusahan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement