Anda di sini

KKM tubuh jawatankuasa khas audit kes kematian pesakit COVID-19

Advertisement
Dr Noor Hisham - Gambar fail Bernama
Dr Noor Hisham - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menjalankan audit terhadap kes kematian pesakit COVID-19 di hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata National COVID-19 Mortality Review Committee itu akan diketuai Pakar Perunding Penyakit Berjangkit yang juga Mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) KKM, Datuk Dr Christopher Lee.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas itu diputuskan menerusi mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) yang dipengerusikannya, semalam.

"Beliau (Dr Christopher Lee) akan dibantu oleh pakar pelbagai disiplin yang berkaitan, manakala Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan bertindak sebagai sekretariat teknikal bagi National COVID-19 Mortality Review Committee ini.

"Melalui jawatankuasa ini, setiap butiran pengurusan dan rawatan yang telah diberikan kepada setiap kes kematian COVID-19 akan diteliti oleh pakar-pakar berkenaan," katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.

Dr Noor Hisham berkata hasil analisis maklumat oleh jawatankuasa itu diharap dapat membantu dalam pengurusan pesakit COVID-19.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Dr Christopher Lee yang sudi membantu walaupun sudah bersara daripada perkhidmatan awam pada Januari lepas. - Bernama
 

Advertisement