Anda di sini

Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa bagi menyelaras pelaksanaan Pakej PRIHATIN 

Advertisement
Abang Johari pada sidang media. Turut kelihatan, Douglas Uggah dan Awang Tengah.

KUCHING: Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelaras pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) di peringkat negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan pengagihan di bawah pakej tersebut untuk Sabah dan Sarawak dilaksanakan oleh kerajaan negeri. 

"Kita akan ada jawatankuasa bersama di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Persekutuan untuk menyelaras dari sudut bagaimana hendak dilaksanakan pakej yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya pada sidang media selepas lawatan ke Pasar Raya Ta Kiong di sini, hari ini.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Abang Johari turut berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pakej yang diumumkan tersebut. 

Beliau turut percaya bahawa Pakej PRIHATIN bernilai RM250 bilion ini akan dapat menambah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang yang diumumkan oleh kerajaan negeri. 

"Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri dan sudah tentu pakej ini dapat menambah apa yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri. Apa yang penting sekarang adalah untuk kita melaksanakan keputusan-keputusan tersebut," katanya. 

Pada sidang media tersebut, Abang Johari turut mengumumkan tambahan peruntukan berjumlah RM16.4 juta untuk membantu  golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat COVID-19. 

Peruntukan tambahan ini katanya akan digunakan untuk penyediaan makanan kepada kumpulan sasar yang mana akan dipantau oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di peringkat daerah dan bahagian masing-masing. 

  • oleh
  • Advertisement