Anda di sini

Satu pengajaran agar tidak pandang remeh kebersihan

Advertisement
(Dari kiri) RUGGERI, MUTANG dan VESTER
(Dari kiri) RUGGERI, MUTANG dan VESTER

KANOWIT: Pengalaman berikutan kewujudan virus COVID-19 telah memberi pengajaran kepada penduduk luar bandar untuk mengutamakan kebersihan dan tidak lagi menganggapnya benda remeh.

Ini kerana pengumuman pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak menyedarkan betapa seriusnya kerajaan ingin menyampaikan mesej supaya dipatuhi.

Antara mesejnya ialah tidak keluar selepas jam 7 malam, penjarakan sosial, sentiasa mencuci tangan dan sentiasa duduk di rumah (stay@home).

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut Kaunselor Ruggeri Anthony berkata, dari sudut positifnya melalui pelaksanaan lanjutan PKP ini memperlihatkan rakyat di kawasan luar bandar sudah mula berdisiplin dan sedar akan kepentingan untuk menjaga kebersihan diri.

"Sekarang ini rakyat di luar bandar sudah mengetahui serta mengenali apa itu cecair pembasmi kuman, dulu mana orang kisah tentang cecair tersebut.

"Dengan didikan serta kesedaran yang disampaikan kerajaan hampir setiap hari menerusi media ataupun media sosial, saya percaya penduduk luar bandar dapat mengubah hidup mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ruggeri yang merupakan Ahli Majlis Daerah Kanowit (MDK) yang bertanggungjawab terhadap kawasan Bawan, Kanowit memberitahu, walaupun pelanjutan PKP ini amat membimbangkan penduduk luar bandar namun dari segi positifnya mereka sudah mula belajar sesuatu iaitu aspek kebersihan diri serta aspek yang lain.

Beliau turut mengingatkan kepada penduduk luar bandar agar sentiasa mematuhi PKP ini dengan duduk di rumah.

"Saya ingin menasihati masyarakat penduduk di rumah panjang supaya tidak pergi kemana-mana untuk menghindari wabak COVID-19 dan menghalang kemasukan orang lain atau warga asing dari memasuki kawasan tempat tinggal mereka.

"Dengan kerjasama sedemikian, ia boleh menghindari penularan wabak ini.

"Mencegah adalah lebih baik daripada merawat sebelum terkena virus ini," katanya lagi.

Ruggeri berharap, pelanjutan PKP ini dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan penduduk luar bandar perlu bersabar kerana PKP ini tidaklah seperti darurat kerana ada kelonggaran untuk keluar membeli makanan atau keperluan yang lain.

Sementara itu, Kaunselor Mutang Karani yang merupakan Ahli MDK yang bertanggungjawab terhadap kawasan Nanga Ngungun berkata, pelanjutan PKP ini adalah satu usaha untuk negara menghapuskan penularan jangkitan COVID-19 ini.

Katanya ketika dihubungi, kerjasama rakyat khususnya penduduk luar bandar diibaratkan sebagai satu didikan serta kesedaran kepada diri sendiri.

"Memang ia (pelanjutan PKP) bukan berita baik tetapi sekurang-kurangnya kita di luar bandar mula sedar tentang aspek-aspek yang perlu diterapkan untuk kebaikan kita semua.

"Tidak dinafikan bahawa tempoh lanjutan itu amat membebankan tetapi ia adalah cara terbaik untuk kita melawan COVID-19 ini," ujarnya lagi.

Mutang memberitahu, ia turut memberikan kesan kepada ekonomi penduduk luar bandar serta pelbagai kesulitan lagi.

"Sekurang-kurangnya kami di luar bandar tidak menghadapi masalah makanan kerana masing-masing menjalani rutin bercucuk tanam dan terdapat kedai runcit berdekatan.

"Walaupun kami menghadapi bebanan dari pelanjutan tempoh PKP ini, kami tetap bersyukur kerana kerajaan sudah membuat pengumuman baru-baru ini tentang insiatif untuk membantu rakyat.

"Sedikit lega dengan bantuan berkenaan dan diharap lebih banyak lagi bantuan dari kerajaan selepas ini," katanya lagi.

Mengenai keselamatan di Nanga Ngungun, Mutang berkata, beliau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Induk Nanga Ngungun akan terus memantau di kawasan mereka.

"Setakat ini Nanga Ngungun bebas COVID-19 dan diharap semua penduduk di sini akan terus mematuhi notis dan peraturan," tambahnya lagi.

Seorang belia di sini Vester Selo ketika dihubungi berkata, tempoh pelanjutan PKP ini sesuatu yang amat menyeksakan namun terpaksa akur dengan keputusan kerajaan demi melawan COVID-19 ini.

Beliau yang merupakan pelajar semester akhir di Politeknik Mukah turut melahirkan rasa bimbang terhadap pelajarannya.

"Sebenarnya hujung bulan ini adalah peperiksaan semester akhir untuk kami dan nampak gayanya pelanjutan PKP ini pasti akan menangguhkan lagi peperiksaan tersebut.

"Sekarang segala tugasan dibuat secara jarak jauh.

"Kenangan manis yang hendak dibuat bersama rakan-rakan pada akhir semester ini semuanya hancur," katanya yang tetap bersyukur kerana sempat pulang ke kampungnya di Nanga Ngungun sebelum tempoh PKP ini mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Vester tetap reda dengan dugaan ini dan berharap semua rakyat Malaysia dapat mematuhi PKP ini agar bersama-sama memainkan peranan melawan COVID-19.

Beliau turut mengaku bahawa sepanjang tempoh PKP ini turut dididik secara tidak langsung menerusi pelbagai aspek dan mesej kerajaan mengenai kebersihan dan kepatuhan yang memungkin virus ini dimatikan.

"Tidak lupa, saya menzahirkan rasa simpati serta banyak-banyak bersabar kepada rakan-rakan yang merangkumi 650 orang pelajar yang masih tinggal di Politeknik di Mukah ketika ini.

"Terima kasih juga kepada wakil rakyat di kawasan tersebut yang sudi menghulurkan bantuan makanan kepada mereka tempoh hari," tambahnya lagi.

  • oleh
  • Advertisement