Anda di sini

Penggiat industri muzik tempatan turut terkesan kerana COVID-19

Advertisement
(Kiri) EYQA SAIFUL dan MELISSA FRANCIS
(Kiri) EYQA SAIFUL dan MELISSA FRANCIS

KUCHING: Penggiat industri muzik tempatan di negeri ini turut terkesan susulan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artis amatur, Isa Lee berkata bagi artis profesional yang bergiat sepenuh masa dalam industri ini, pendapatan mereka bergantung sepenuh daripada industri ini.

“Pendapatan bagi artis profesional dijana sepenuhnya daripada penglibatan mereka dalam industri muzik sama ada menyanyi, mencipta lagu, menerbitkan muzik dan sebagainya.

“Dalam tempoh PKP ini, sudah pasti ada antara mereka yang terjejas dari segi pendapatan kerana tidak ada tawaran untuk persembahan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Isa, bagi penyanyi amatur seperti dia, pelaksanaan PKP ini tidak memberikan kesan yang teruk kepada kehidupan hariannya.

Ini kerana menurut Isa yang popular dengan lagu ‘Tubai Pengerindu’, dia mempunyai pendapatan yang stabil dan tidak bergantung sepenuhnya daripada undangan nyanyian.

Sementara itu penyanyi Dominic Christy berkata dia dan rakan-rakan artis yang lain akur dengan pelaksanaan PKP.

“Memang terkesan, terutama bagi penyanyi sepenuh masa seperti kami. Meskipun ada simpanan tetapi ia tidak cukup dalam keadaan sekarang seperti ini.

“Apa yang boleh dibuat masa ini adalah berjimat dan beli apa yang perlu sahaja terutama keperluan makanan asas,” kata penyanyi yang popular dengan lagu ‘Siti Sumpah Siti Janji’ ini.

Luahan yang sama turut diterima daripada penyanyi Eyqa Saiful, vokalis terbaik Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) 2019.

Menurut penyanyi ‘Empeleman’ ini, banyak tawaran  persembahan yang diterima sebelum ini  ditangguhkan susulan penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

(Kiri) DOMINIC CHRISTY dan ISA LEE
(Kiri) DOMINIC CHRISTY dan ISA LEE

Malah katanya ada juga yang telah dibatalkan sekali gus memberi kesan kepada dia sebagai penyanyi sepenuh masa.

“Simpanan ada dari hasil persembahan sebelum ini. Kita harap wabak COVID-19 ini akan segera berakhir dan dapat jalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Bagi penyanyi Melissa Francis yang juga usahawan pula, tempoh PKP ini adalah masa yang amat sukar baginya.

“Lebih daripada 10 persembahan dibatal dan ditangguh. Perniagaan salon dan bistro yang saya usahakan terpaksa ditutup sepanjang PKP ini.

“Keadaan ini amat  merunsingkan saya kerana sewa kedai perlu dibayar meskipun tidak beroperasi dan gaji pekerja pun perlu dibayar.

“Jika tempoh PKP dilanjutkan lagi, mungkin saya perlu fikirkan cara lain untuk memastikan pendapatan tidak terputus,” kata Melissa.

Melissa dalam pada itu meminta rakyat untuk mematuhi PKP ini dan duduk di rumah bagi mengekang penularan COVID-19 dan tempoh PKP tidak dilanjutkan lagi selepas 14 April.  

  • oleh
  • Advertisement