Anda di sini

Lelaki langgar sekatan jalan raya PKP dipenjara sehari, denda RM6 ribu

Advertisement
 

KINABATANGAN: Tindakan seorang lelaki lari dari Sekatan Jalan Raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (COVID-19) di Kilometer 131 Jalan Sandakan- Lahad Datu, di sini membawa padah, apabila dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM6 ribu atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret Sandakan, hari ini.

Majistret Suhaila Binti Selag menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Salleh Majid, 39 , selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Pada 24 Mac 2020, lebih kurang 0945 pagi , tertuduh memandu sebuah kereta yang turut dinaiki anggota keluarganya iaitu isteri, dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Kenderaan yang dipandu tertuduh telah ditahan oleh anggota polis yang sedang membuat  Sekatan Jalan Raya Daerah Kinabatangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19  di Kilometer 131 jalan Sandakan- Lahad Datu. 

Tertuduh memaklumkan hendak balik ke Semporna selepas melawat keluarga di Sandakan pada 17 Mac 2020. Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa tertuduh telah diarahkan berpatah balik ke Sandakan. 

Lebih kurang dalam jarak 30 meter perjalanan menuju ke Sandakan semula, kereta yang dipandu tertuduh telah membuat pusingan U untuk meneruskan perjalanan ke arah Lahad Datu dan melanggar sekatan jalan raya yang berada di situ dengan memandu laju. 

Ekoran daripada kejadian tersebut, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan telah menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk menahan kenderaan tersebut kerana tidak mematuhi arahan yang diberikan oleh  pegawai polis yang sedang menjalankan tugas. 

Tertuduh telah berjaya ditahan oleh polis  dari IPD Lahad Datu. Siasatan telah dijalankan ke atas kejadian ini oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 / Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan  Tempat Jangkitan 2020). 

Kes telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negera dan setuju untuk tuduh saspek di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya.  

Pertuduhan telah dibacakan di hadapan Majistrit Suhaila Binti Selag oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Lim Sze Chuen. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan  Dzulbaharin Haji Ismail yang dihubungi mengesahkan kejadian ini. 

Beliau juga menasihati masyarakat setempat khususnya di daerah Kinabatangan agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia di dalam menggelak penularan wabak COVID-19. 

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan hal ini dan mana-mana orang yang ingkar atas Perintah Kawalan Pergerakan ini  tindakan tegas akan diambil,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement