Anda di sini

Golongan OKU, warga emas, gelandangan, tidak dikecualikan dalam Pakej PRIHATIN  

Advertisement
 

KUCHING: Bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan dilihat dapat membantu semua rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19. 

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah (gambar) berkata pakej rangsangan ekonomi ini merangkumi semua rakyat. 

Malah katanya golongan orang kelainan upaya (OKU), gelandangan dan  warga emas juga tidak terkecuali daripada menikmati bantuan dibawah pakej rangsangan ekonomi ini. 

“Pakej PRIHATIN ini merupakan berita baik kepada semua kerana ia turut memberi fokus untuk membantu golongan OKU, gelandangan, warga emas serta klien kami dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

“Apa yang baik mengenai bantuan  PRIHATIN yang diumumkan ini adalah tidak ada satu orang yang ditinggalkan. Ia tidak hanya meliputi B40 tetapi juga M40,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Fatimah,  sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, rakyat rasa terkesan terutama berpendapatan rendah, pekerja harian, penjaja kecil termasuk lain-lain golongan. 

Dengan adanya bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan ini ditambah bantuan daripada Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang, rakyat katanya kini boleh menarik nafas lega. 

Mengenai peruntukan RM25 juta bagi menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan kepada warga emas, kanak-kanak di rumah perlindungan, OKU, gelandangan dan orang asal, Fatimah berkata modus operandinya akan ditentukan kelak selepas perjelasan lanjut. 

Apa yang penting sekarang katanya pengagihan bantuan-bantuan ini harus dipercepatkan kepada rakyat. 
 

  • oleh
  • Advertisement