SIBU: Empat lelaki berusia antara 18 hingga 40 tahun dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Nelson Goh, 23, Lazio Munggu, 18, Alkiam Abai, 40, dan Mathew Menie, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan dijatuhkan hukuman penjara dua bulan.
Mengikut pertuduhan, Nelson yang beralamat di Jalan Wawasan didakwa melanggar PKP pada 26 Mac 2020, kira-kira jam 11.35 malam ketika dalam perjalanan dari bandar Sibu ke Jalan Kwong Ann.
Lazio yang berasal dari Dalat pula didakwa melakukan kesalahan sama ketika dalam perjalanan menunggang motosikal dari Bukit Assek ke Jalan Teku pada 26 Mac 2020, kira-kira jam 10.30 malam.
Sementara Alkiam dan Mathew yang menaiki sebuah kereta didakwa bersama melanggar PKP di Jalan Sentosa pada 26 Mac 2020, kira-kira jam 8 malam.
Sehubungan itu, keempat-empat mereka telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) dan dihukum mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Nelson, Alkiam dan Mathew masing-masing turut dikenakan dnda RM2,000 atau sebulan penjara atas kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan diri ketika diperiksa oleh pihak polis.
Untuk kesalahan itu, ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.