Anda di sini

Tokyo terpaksa akur kembali semula ke ‘titik pertama’

Advertisement
 Ketua Eksekutif Sukan Olimpik Tokyo 2020, Toshiro Muto (kiri) dan Presiden Sukan Olimpik Tokyo 2020, Yoshiro Mori menghadiri sidang media penangguhan Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun semalam. — Gambar AFP
AKUR TUNTUTAN DUNIA: Ketua Eksekutif Sukan Olimpik Tokyo 2020, Toshiro Muto (kiri) dan Presiden Sukan Olimpik Tokyo 2020, Yoshiro Mori menghadiri sidang media penangguhan Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun semalam. — Gambar AFP

TOKYO, Jepun: Jepun semalam memulakan satu tugas yang tidak pernah dilakukan sebelum ini iaitu mengatur semula Sukan Olimpik Tokyo selepas keputusan bersejarah untuk menangguhkan temasya sukan terbesar dunia itu ekoran pandemik koronavirus (COVID-19) yang telah mengasingkan satu pertiga penduduk di dunia.

Langkah dramatik untuk mengubah Tokyo 2020 ke tahun 2021 itu tidak pernah berlaku pada era aman dan penangguhan itu akan mengubah semua aspek penganjuran – termasuk venue, keselamatan, penjualan tiket dan penempatan.

“Ia seperti menghilangkan tujuh tahun persediaan untuk membina teka-teki terbesar dunia dan, dengan hanya satu cebisan untuk melengkapkannya, ia kini terpaksa dimulakan sekali lagi tetapi masanya lebih kurang,” kata Craig Spence, jurucakap untuk Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Ia juga belum jelas bila penjadualan semula Sukan Olimpik akan berlangsung, dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berkata tarikh baharu ialah “selepas 2020 tetapi tidak lewat dari musim panas 2021.”

Jepun sentiasa merancang Tokyo 2020 sebagai “Sukan Pemulihan” – satu peluang untuk menunjukkan kepada dunia ia sudah bangkit dari “tiga malapetaka” pada 2011 apabila gempa bumi kuat menyebabkan satu tsunami dan kerisauan kebocoran reaktor nuklear Fukushima.

Penangguhan Sukan Olimpik itu – yang masih akan digelar Sukan Olimpik Tokyo 2020 – akan sekarang menjadi “satu bukti kekalahan manusia kepada virus baharu,” kata Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Sukan Olimpik boleh menjadi sebagai satu “api harapan kepada dunia pada masa sukar” dan obor Olimpik “boleh menjadi cahaya pada akhir terowong gelap yang diharungi oleh dunia ketika ini,” kata Jepun dan IOC dalam satu kenyataan bersama.

Olimpik, yang mengharungi boikot, ancaman pengganas dan tunjuk perasaan, adalah kejohanan paling berprofail tinggi yang terjejas oleh virus yang telah meragut ribuan nyawa dan menangguhkan atau membatalkan pertandingan sukan lain di seluruh dunia.

IOC berada dalam tekanan untuk cuba mengekalkan tarikh asal penganjurannya tetapi akhirnya terpaksa tunduk kepada sesuatu yang tidak dapat dielak, dengan merujuk kepentingan untuk melindungi kesihatan atlet.

Presiden IOC, Thomas Bach, berkata penangguhan itu adalah “tentang melindungi kehidupan manusia”, dengan lebih dari 11,000 atlet dijangka tiba di Sukan Olimpik bersama-sama 90,000 sukarelawan dan ratusan ribu pegawai dan penonton dari seluruh dunia.

Jaguh renang Amerika Syarikat (AS), Ryan Lochte, menyimpulkan kombinasi kekecewaan dan kelegaan dari kebanyakan atlet, selepas ramai menyuarakan kemarahan kerana diarahkan untuk terus berlatih semasa pandemik ini.

“Saya agak marah kerana saya sudah berlatih bersungguh-sungguh dan berasa cukup cergas ketika ini,” kata pemenang 12 pingat di Sukan Olimpik itu.

“Tetapi situasi semasa jauh lebih besar dari saya,” tambah Lochte. “Ia adalah lebih besar dari Sukan Olimpik, ia memberi kesan kepada seluruh dunia ketika ini.”

Ada perasaan yang sama di jalan-jalan raya di Tokyo, yang mendapat pujian kerana persediaan dengan penjualan tiket begitu laris dan venue pertandingan siap lebih awal dari jadual.

“Ia sememangnya mengecewakan tetapi apabila anda memikirkan tentang kesihatan atlet dan juga penonton, saya faham,” kata seorang penduduk, Momoku Doku.

“COVID-19 ini menular begitu pantas ke seluruh dunia dan ia adalah isu yang sangat serius di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Media Jepun juga memberikan sokongan walaupun akhbar Tokyo Shimbun mengeluarkan tajuk “mengejutkan dan memalukan”.

“Ia seperti semua usaha dalam tujuh tahun terakhir kini kembali ke peringkat pertama semula,” menurut akhbar perniagaan, Nikkei.

Larian Obor Olimpik, dijangka bermula dari Fukushima hari ini, telah dibatalkan tetapi obor itu akan terus kekal di kawasan itu sehingga ia selamat untuk dimulakan.

Dan penganjur kini bergelut dengan beberapa persoalan yang belum terjawab: “Adakah venue masih dapat digunakan? Apa yang berlaku kepada pemegang tiket dan sukarelawan? Bagaimana untuk menyesuaikan Sukan Olimpik dengan jadual sukan lain pada 2021?

Perkampungan atlet dijangka diubah semula menjadi 4,000 apartmen mewah untuk dijual dengan beratus-ratus slot sudah terjual. Puluhan ribu bilik hotel akan dibatalkan tempatan dan terpaksa ditempah semula.

Jepun dan jawatankuasa penganjuran membelanjakan 12.6 bilion dolar untuk Sukan Olimpik dan pakar berkata mereka perlu berbelanja sekitar separuh dari jumlah itu untuk menganjur semula temasya ini – sebelum berharap untuk menampung kerugian apabila Sukan Olimpik akhirnya berlangsung. — AFP

Advertisement