Anda di sini

Tiada kemeriahan Aidilfitri dan Gawai jika masih ada yang ingkar PKP - Idris

Advertisement
 

KUCHING: Mungkin suasana Ramadan, sambutan Hari Raya mahupun Gawai Dayak tidak dirai seperti kebiasaan jika rakyat masih ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Idris Buang (gambar) yang memberitahu, sikap tidak bertanggungjawab tersebut mungkin akan menyebabkan tempoh penguatkuasaan PKP dipanjangkan lagi.

Malah, tegas Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, tindakan tersebut juga akan menyebabkan penularan wabak COVID-19 akan bertambah buruk.

"Adakah kita mahu Ramadan ini tiada sembahyang sunat tarawih berjemaah di masjid dan surau, suara anak-anak bertadarus, tiada sembahyang sunat Aidilfitri, tiada ziarah menziarahi ketika meraikan Hari Raya dan Gawai?

"Jika sikap tidak patuh dan ingkar ini berterusan, semua itu tidak mustahil akan berlaku pada kita. 

"Justeru, marilah kita patuh dengan perintah dan arahan yang dikeluarkan kerajaan dan pihak berkuasa dalam usaha kita bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.

Tegas Idris, dengan mematuhi PKP itu dapat membantu memutuskan rantaian penularan wabak tersebut.

Tambahnya, untuk itu, orang awam haruslah duduk di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan penting.

Selain itu, beliau mengingatkan agar orang awam menjaga kebersihan diri ditahap maksimum pada musim wabak ini.

Kata beliau, ia penting bagi memastikan orang awam dapat mencegah daripada risiko dijangkiti wabak tersebut.

"Penjarakan sosial juga perlu terus diamalkan, pakai penutup mulut dan hidung, kerap cuci tangan dan jangan bersalaman atau bersentuhan dengan orang lain dalam tempoh sukar ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam bijak menguruskan kewangan mereka dalam tempoh sukar ini.

"Belilah barang yang diperlukan sahaja, elak pergi beli belah bersama ahli keluarga lain," tambahnya lagi.