Anda di sini

Suami isteri ditangkap tunjuk isyarat lucah dan meloloskan diri dalam sekatan jalan raya 

Advertisement
Gambar fail
Gambar fail

MIRI: Tindakan seorang lelaki menunjukkan isyarat lucah kepada polis dan meloloskan diri dari sekatan jalan raya di simpang Batu Niah membawa padah apabila dia ditangkap bersama isterinya di sebuah rumah panjang di Suai kira-kira jam 2.15 petang pada Rabu. 

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 10.15 pagi ketika pasangan suami isteri itu cuba melepasi sekatan jalan raya untuk ke pasar di simpang Batu Niah. 

"Ketika dia melalui jalan tersebut, kereta itu melanggar sekatan jalan raya sambil menunjukkan isyarat lucah kepada polis. 

"Selepas empat jam mengesan, polis berjaya menangkap suspek di sebuah rumah panjang dan apabila ditanya kenapa dia bertindak demikian, dia memberitahu bahawa dia marah tidak dapat membawa isterinya bersama untuk ke pasar," katanya ketika ditemu bual Utusan Borneo di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sini. 

Lim berkata polis bertindak menahan suspek semasa sekatan jalan raya itu kerana sebelumnya anggota polis ada melihat suspek melalui jalan tersebut berseorangan sebelum kemudiannya membawa isteri. 

Atas kesalahan ini, suami isteri terbabit disiasat mengikut Seksyen 26, 186 dan 509 Kanun Keseksaan serta Peraturan (7)(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. 

Sementara itu, Lim berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk minggu kedua pada Rabu menyaksikan seramai sembilan orang berjaya ditangkap kerana ingkar PKP. 

"Selain sepasang suami isteri itu, turut ditangkap dalam rondaan jam 7 malam semalam sehingga 7 pagi hari ini ialah enam lelaki dan seorang wanita termasuk antaranya adalah dua warga asing. 

"Mereka ditangkap di Jalan Riam, Jalan Taman Yakin, hadapan sebuah bank di Jalan Bendahara dan Desa Senadin," jelasnya. 

Menurutnya, mereka ditangkap kerana berada di luar rumah sewaktu jam 7 malam sehingga 7 pagi dengan memberikan alasan tidak munasabah antaranya hanya melepak bersama rakan-rakan. 

  • oleh
  • Advertisement