Anda di sini

SOP Perintah Kawalan Pergerakan akan diperketat pada fasa kedua - Ismail Sabri 

Advertisement
 
Pelbagai papan tanda didirikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 hari ini. - Gambar Bernama
Pelbagai papan tanda didirikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diperketatkan lagi termasuk kemungkinan mewujudkan lebih banyak sekatan merangkumi pergerakan orang ramai dalam membuat pembelian barangan dan makanan harian.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini sedang menyiapkan SOP baharu itu yang akan digunakan apabila fasa kedua PKP diperkenalkan.

"Fasa pertama kita lihat walaupun ada sekatan pergerakan tetapi ada banyak perkara seolah-olah dibenarkan, ada pengecualian-pengecualian. Menurut polis, pematuhan PKP masih 95 peratus, menunjukkan masih ada yang ingkar. 

"MKN telah diminta memperkenalkan atau keluarkan SOP baharu ini dan peraturannya akan jadi lebih tegas dari hari ini, jadi mungkin selepas ini banyak sekatan akan dikenakan sama ada dari segi pembelian, membeli-belah, membeli makanan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai PKP di sini, hari ini.

Tindakan itu terpaksa dilakukan memandangkan masih ada lima peratus rakyat Malaysia yang ingkar dan tidak mempedulikan arahan PKP walaupun telah beberapa kali diberikan peringatan.

“Saya dah perjelaskan dan beri peringatan bahawa cara polis mungkin akan berubah, daripada nasihat secara berhemah kepada tindakan yang lebih tegas. Sebenarnya inilah yang rakyat mahu kerajaan lakukan dan saya sendiri terima banyak mesej yang mahu tindakan itu dilakukan.

“Di pasar dan pasar raya, walaupun polis dan tentera yang berkawal melaporkan ada pasar raya yang mematuhi arahan ditetapkan dengan mengamalkan jarakan sosial, namun masih ada yang ingkar dengan arahan itu.

“Begitu juga di jalan-jalan raya, walaupun keadaan di bandar sesetengahnya telah lengang, namun masih ada kenderaan yang beratur panjang di sekatan jalan menunjukkan masih ramai yang keluar selain trend pulang semula ke bandar untuk bekerja,” katanya.

Tindakan tegas juga telah dilakukan bermula semalam dengan 110 tangkapan telah dilakukan terhadap mereka yang ingkar arahan itu.

Beliau berkata selain itu, sekatan jalan raya juga akan lebih banyak dilakukan di zon merah seperti Masjid Sri Petaling dan Pasar Borong Selayang.

Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan akan mempermudahkan laluan terhadap kenderaan membawa makanan yang melalui sekatan jalan raya.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan yang mengatakan sayur-sayuran dari Cameron Highlands terpaksa dibuang kerana tidak dapat dibawa keluar disebabkan PKP adalah tidak benar. - Bernama 

Advertisement