Anda di sini

SESB Careline beroperasi sepanjang PKP 

Advertisement
 Anggota kerja SESB Careline bertugas 24 jam untuk pastikan kepuasan pelanggan.
TERUS BERKHIDMAT: Anggota kerja SESB Careline bertugas 24 jam untuk pastikan kepuasan pelanggan.

KOTA KINABALU: Menggalas tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan (frontliner) sepanjang masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sesuatu yang mudah. 

Saat rakan-rakan dan keluarga berada di rumah atas arahan Work From Home, sebahagian warga kerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang bertugas di Pusat Pengurusan Penggilan atau SESB Careline mengendalikan talian 15454 dan 088- 515000 perlu meneruskan tugas mereka di pejabat. 

“Bukan sesuatu yang mudah untuk bertugas di saat pihak berkuasa mengeluarkan arahan orang ramai perlu berada di rumah, apatah lagi bila melihat kepada jumlah pesakit wabak COVID-19 yang semakin bertambah hari demi hari, kerisauan timbul di hati setiap anggota kerja,” kata Pengurus Besar Komunikasi Korporat SESB, Hajah Chendramata Hj Sinteh. 

Namun, penumpuan terhadap tugas harus diberikan keutamaan ketika berada di dalam pejabat walaupun kerisauan terhadap kebajikan dan keselamatan anak, isteri dan suami yang ditinggalkan di rumah terpancar di wajah mereka. 

Menurut beliau, kepentingan SESB Careline amat kritikal pada ketika ini kerana anggota kerja yang bertugas adalah secara tidak langsung merupakan wakil syarikat yang akan menjawab pertanyaan pengguna berkenaan dengan perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah dan W.P Labuan. 

SESB Careline ditadbir di bawah Bahagian Komunikasi Korporat dan diperkenalkan bagi meningkatkan jalinan hubungan  organisasi  dan  pelanggan  seterusnya  memenuhi  kehendak  dan ekspektasi  pelanggan  yang  semakin  meningkat.   

Beliau berkata melalui SESB Careline, satu pendekatan holistik dapat diwujudkan dengan menekankan perhubungan yang baik antara syarikat dan pelanggan.  

 “Pendekatan  ini  memberi  fokus  kepada  penyampaian  perkhidmatan  yang berteraskan  keperluan  pelanggan  di mana aduan pelanggan diberikan keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan media. 

Sementara itu, Pengurus Kanan Pusat Pengurusan Pelanggan, Md Tajuddin Ismail berkata, sejak PKP berkuatkuasa, SESB Careline menerima purata panggilan sebanyak 700 sehingga 800 sehari yang dikendalikan seramai 31 anggota kerja yang bertugas secara bergilir-gilir dalam tiga syif. 

Ketika PKP dikuatkuasa, peranan SESB Careline bertambah kritikal kerana bukan sahaja menerima aduan mengenai bekalan elektrik, tetapi pertanyaan-pertanyaan berkenaan dengan perkhidmatan bekalan elektrik seperti bil elektrik, pembayaran bil dan permohonan bekalan elektrik. 

“Walaupun tugas mereka tidak berhadapan dengan pengguna dan orang awam, namun peranan dan kebijaksanaan mereka untuk menjawab setiap persoalan yang diajukan amat penting dan SESB Careline mempunyai barisan anggota kerja yang memahami kehendak tugasan mereka dan yang amat penting sekali mereka mempunyai tahap kesabaran yang tinggi terutama apabila berhadapan dengan pengguna atau orang awam yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan SESB,” katanya 

Advertisement