Anda di sini

Proses nyahcemar akan dilakukan di premis awam - Ismail Sabri

Advertisement
 
Kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan proses disinfeksi di sekitar Bazaar Medan Kidd, Ipoh pada Rabu sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19.
Kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan proses disinfeksi di sekitar Bazaar Medan Kidd, Ipoh pada Rabu sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19. - Gambar Bernama 

PUTRAJAYA: Proses pembersihan dan pencucian nyahcemar untuk mengawal penularan COVID-19 akan dilakukan di premis-premis awam terutama di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan merah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara berkenaan diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

"Proses berkenaan akan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kemungkinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya diperlukan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, buat masa ini keutamaan proses pembersihan itu akan diberikan kepada kawasan-kawasan yang telah diklasifikasi sebagai zon merah serta tumpuan awam dan yang mempunyai risiko tinggi penyebaran COVID-19 seperti pasar dan masjid.

“Buat masa ini, premis-premis awam akan menjadi tumpuan kita seperti di kawasan yang berisiko tinggi seperti di pasar awam dan kawasan masjid,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi menyelaraskan usaha kerajaan Persekutuan dan negeri dalam mengawal penularan COVID-19, mesyuarat hari ini memutuskan supaya seorang menteri Persekutuan akan menyertai mesyuarat majlis keselamatan peringkat negeri. 

Menteri itu juga haruslah datang daripada negeri yang terlibat, katanya. 

“Seorang menteri (Persekutuan) yang datang dari negeri itu akan berada dalam mesyuarat berkenaan bagi menyampaikan maklumat dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan supaya kita boleh selaraskan sebarang tindakan yang bakal dilaksanakan. 

“Keputusan meletakkan menteri (Persekutuan) akan bermula secepat mungkin, seorang menteri akan berada dalam setiap mesyuarat secepat mungkin,” katanya. - Bernama 

Advertisement