Anda di sini

Premis perniagaan juga dilanjutkan penutupan mulai 7 malam setiap hari sehingga 14 April

Advertisement
Abang Johari pada sidang media mengenai COVID-19, hari ini. Turut kelihatan, Uggah dan Masing. - Gambar Chimon Upon.
Abang Johari pada sidang media mengenai COVID-19, hari ini. Turut kelihatan, Uggah dan Masing. - Gambar Chimon Upon.

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melanjutkan tempoh larangan operasi premis perniagaan bermula 7 malam hingga 7 pagi sejajar dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disambung sehingga 14 April depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang berkata demikian, menambah premis perniagaan hanya dibenarkan beroperasi cuma dari 7 pagi hingga 7 malam. 

Premis perniagaan itu ialah pasar raya besar, pasar raya, kedai kopi, klinik swasta, restoran, kedai serbaneka 24 jam dan stesen petrol.

"Jika kita patuh kepada PKP, kemungkinan besar kita dapat membendung COVID-19 ditambah dengan Sarawak dipisahkan oleh Laut China Selatan dengan Semenanjung Malaysia, akan membantu menghentikan rantaian jangkitan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.   

Beliau berkata pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri hari ini kerajaan negeri memutuskan untuk cuba memperbaiki keadaan di Sarawak dari sudut keselamatan juga bagaimana menguruskan PKP.

Bagi tujuan itu katanya dua jawatankuasa kecil ditubuhkan iaitu jawatankuasa kecil Rantaian Bekalan Makanan dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Jawatankuasa kecil Keselamatan diketuai Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.

"Kerajaan negeri akan memantau dari masa ke semasa impak COVID-19 dan mencari penyelesaian kalau kesannya kepada ekonomi. Saya percaya inisiatif-inisiatif yang diumumkan kerajaan sebelum ini akan memberi kesan baik bagi ekonomi Sarawak dan rakyat," katanya.

Pada sidang media sama, Abang Johari memberitahu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang asalnya dijadual diadakan pada 13 April ditunda ke 16 April sejajar dengan tempoh pelanjutan PKP.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

  • oleh
  • Advertisement