Anda di sini

Penutup mulut dan hidung percuma kepada 8.63 juta isi rumah - Ismail Sabri

Advertisement
 
 

PUTRAJAYA:Kerajaan akan mengagihkan penutup mulut dan hidung percuma kepada 8.63 juta isi rumah di seluruh negara secara berperingkat dalam waktu terdekat ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar).

Beliau berkata penutup mulut dan hidung berkenaan akan diedarkan melalui jawatankuasa bencana negeri dan daerah.

"Kita sedang menunggunya dari negara yang kita import dan apabila sampai ke negara kita dalam waktu terdekat, kita akan edarkan secara berperingkat," kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menurutnya penutup mulut dan hidung berkenaan tidak diperoleh secara percuma sebaliknya dibeli oleh kerajaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Tabung COVID-19 telah menerima sumbangan sebanyak RM8.129 juta setakat ini.

Beliau berkata pada peringkat awal, sebanyak 70 peratus atau RM5.86 juta daripada sumbangan itu akan digunakan untuk membantu rakyat terutamanya golongan miskin yang terkesan akibat pelaksanaan PKP.

Bantuan dalan bentuk bekalan makanan pula akan diagihkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kepada mereka yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Mengenai rakyat Malaysia termasuk pelajar yang terkandas di luar negara, Ismail Sabri berkata ramai daripada mereka yang ingin pulang tetapi sesetengah negara telah mengambil tindakan menyekat penerbangan keluar dan masuk ke negara berkenaan.

Berikutan itu, katanya,  Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen diminta memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk menyelesaikan isu itu.

"Kita sedang menunggu mereka untuk membentangkan SOP baharu tentang bagaimana untuk membawa masyarakat kita pulang dari luar negara," katanya. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengulangi peringatan kepada masyarakat supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menghuru-harakan keadaan.

"Masih banyak berita palsu yang dikeluarkan ...tiada untungnya kepada sesiapa dengan mengeluarkan berita palsu ini," tegasnya. - Bernama