Anda di sini

Pelukan kegembiraan di antara penyokong Atalanta ‘titik permulaan’ penularan wabak COVID-19 di Itali

Advertisement

BERGAMO, Itali: Penyokong yang bersorak ceria dan berpeluk sesama sendiri pada perlawanan Liga Juara-Juara di antara Atalanta dan Valencia pada bulan Februari, memburukkan lagi penularan koronavirus (COVID-19), menurut datuk bandar di kawasan yang paling terjejas teruk di Itali Selasa lepas.

Bergamo, di rantau utara Itali, Lombardy, adalah wilayah paling terjejas teruk di Itali dengan hampir 6,728 jangkitan.

Pasukan bola sepak wilayah itu, Atalanta, mengharungi satu musim yang hebat, dengan kelayakan bersejarah ke Liga Juara-Juara. Perlawanan mereka menentang kelab La Liga Sepanyol, Valencia, pada 19 Februari di Stadium San Siro di Milan, sememangnya ditunggu-tunggu oleh penyokong.

Atalanta mencipta kemenangan bergaya 4-1 – dengan setiap gol disambut sorakan, pelukan kegembiraan di antara penyokong.

Datuk Bandar Bergamo, Giorgio Gori, memberitahu wartawan asing di mana perlawanan itu adalah “antara penjelasan sedih” kerana kadar jangkitan yang tinggi di bandar raya dan ke seluruh wilayah itu.

“Kira-kira 40,000 penduduk Bergamo pergi ke Milan untuk menonton perlawanan. Yang lain menontonnya menerusi televisyen di rumah bersama-sama keluarga dan juga berkumpulan di bar,” kata beliau.

“Ia ajelas di mana malam itu adalah satu situasi di mana virus menular dengan meluas,” tambah beliau.

Tetapi Gori berkata beliau tidak fikir ia adalah “titik permulaan”. Sebaliknya beliau percaya masalah di Bergamo bermula apabila seorang pesakit di Hospital Fenaroli di Alzano ditahan di hospital dengan COVID-19 tetapi tidak dikesan doktor, membolehkan beliau menjangkiti orang lain.

Dua minggu selepas kemenangan bersejarah di Milan, jumlah mereka yang dijangkiti di Bergamo mula meningkat dengan mendadak dan bandar raya itu sudah menjadi pusat penularan pandemik di Eropah.

Kira-kira 4,178 orang telah meninggal dunia setakat ini di Lombardy, dari jumlah keseluruhan 6,820 di Itali.

Gori berkata beliau memikirkan statistik gagal untuk memberikan gambaran sebenar di Bergamo dan rantau sekitarnya kerana “terdapat ramai lagi golongan warga emas yang meninggal dunia di rumah, tanpa sempat membawa mereka ke hospital.”

“Mereka ini tidak termasuk dalam statistik rasmi. Tiada ujian dilakukan ke atas mereka sebelum atau selepas kematian mereka”.

Kelab Valencia berkata 35 peratus pemain dan kakitangan kelab disahkan positif untuk COVID-19 ekoran perlawanan di Milan.

Atalanta mengesahkan Selasa lepas di mana penjaga gol mereka, Marco Sportiello, yang bermain ketika menentang Valencia pada 10 Mac ketika kelab dari Serie A itu melangkah ke peringkat suku akhir, menjadi pemain pertama disahkan positif untuk COVID-19. — AFP

Advertisement