Anda di sini

Nur Aqma rayu bantuan kesan bapa kandung

Advertisement
NUR AQMA
NUR AQMA

SRI AMAN: Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinannya pada bulan Jun depan memohon bantuan orang ramai untuk membantu mengesan bapa kandungnya yang telah menghilangkan 11 tahun lalu.

Nur Aqma Aqirah Mohd Azizul [email protected] Michael, 19, yang berasal dari Kampung Bakong, di sini berkata, pelbagai usaha telah dilakukan beliau serta keluarga untuk mengesan kedudukan bapa kandungnya itu.

Beliau melahirkan rasa bimbang majlis perkahwinan yang dijangka dilangsungkan pada Jun terbantut berikutan kegagalan bapa kandungnya yang juga wali kepadanya hadir pada majlis pernikahan itu nanti.

Menurut Nur Aqma, bapanya Mohd Azizul Fakar atau nama di kad pengenalannya, Michaell Bulin, 41, yang berasal dari Rumah Unsa, Sungai Tisa Yong, Kapit itu telah menghilangkan diri sejak 11 tahun lalu.

“Sejak dari itu, beliau tidak pernah menghubungi dan mengirim berita kepada kami sekeluarga, malah hingga kini kami sekeluarga tidak tahu di mana kedudukan beliau berada dan menetap di mana.

“Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjejaki dan mengesannya dengan bertanya kepada saudara dan kenalan namun usaha tersebut turut menemui jalan buntu,” ujarnya ketika menghubungi pemberita semalam.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, segala persiapan untuk majlis perkahwinannya sedang diuruskan tetapi urusan mencari bapanya belum berhasil sehingga kini.

Menurutnya, dia amat memerlukan kehadiran bapa kandungnya memandangkan tarikh pernikahan semakin hampir dan pihak Jabatan Agama Islam  Sarawak (JAIS) Bahagian Sri Aman mensyaratkan supaya berita mengenai pencarian wali ini disiarkan dalam mana-mana akhbar.

“Perkahwinan saya ini bakal tertangguh sekiranya gagal mengesan bapa saya ini dan usaha pencarian bapa dilakukan untuk menjadi wali supaya masalah itu dapat diselesaikan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Nur Aqma berharap bapanya tampil untuk menjadi wali pernikahannya dan sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat mengenainya, boleh menghubungi beliau di talian (016-4014920) dengan kadar segera.

“Saya berharap keluarga terdekat bapa, sekiranya terbaca berita ini boleh juga menghubungi saya seperti di talian tersebut,” jelasnya.

Advertisement