Anda di sini

Mahasiswa Sabah di Mesir dalam keadaan selamat

Advertisement
 

KAHERAH: Seperti yang diketahui umum, penularan wabak Novel Corona Virus (COVID-19)  merupakan isu kritikal yang melanda seluruh dunia ketika ini. Statistik jumlah yang dijangkiti dan angka kematian juga semakin meningkat hari demi hari. 

Hal ini amat membimbangkan hati setiap pihak terutama pelajar universiti yang tidak dapat menjalani kuliah seperti biasa. 

Begitu juga halnya dengan penuntut Sabah di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Statistik terkini mengenai wabak COVID-19 di Republik Arab Mesir telah melibatkan 36 jangkitan baharu dan satu kes kematian sehingga 25 Mac 2020 yang menjadikan jumlah 442 orang yang positif di jangkiti dan 21 jumlah  kematian yang telah dicatatkan.  

Kerajaan Mesir  lebih awal lagi telah  mengambil langkah untuk membendung wabak ini daripada terus menular dengan mengeluarkan arahan penangguhan pengajian di seluruh sekolah dan universiti di Mesir. 

Penangguhan penerbangan antarabangsa juga telah di tutup bermula 19 Mac dan akan berlanjutan sehingga pertengahan April disebabkan isu ini. 

Biarpun seluruh institusi pengajian ditutup namun pembelajaran dijalankan seperti biasa. Pihak universiti telah mengambil inisiatif dengan menjalankan pembelajaran secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi seperti zoom, google class room dan juga melalui video yang dihantar di dalam group fakulti masing-masing.

Sehubungan dengan itu, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) telah mengeluarkan memo pekeliling keselamatan dan kesihatan pada 15 Mac 2020 dan memo larangan keluar daripada rumah pada 19 Mac 2020. 

Selain itu, BKPSM juga akan menjalankan dan melancarkan Program Inisiatif Bantuan Mahasiswa Sabah Mesir (IBMS) dengan kerjasama pejabat Wisma Yayasan Sabah Kaherah dan Pusat Zakat Sabah dalam masa terdekat. 

Hal ini bertujuan untuk meringankan beban mahasiswa kesan dari ketidakstabilan tukaran wang ringgit Malaysia-Mesir dan peningkatan harga barang asas harian. 

Program ini juga dapat membantu menjaga keselamatan mahasiswa dalam keadaan Mesir yang telah mengeluarkan arahan perintah berkurung.

Sementara itu, Pegawai Atase Pendidikan Negeri Sabah Ustaz Hafiz Datuk Dr Hamzah Al-Hafiz juga terus mengingatkan Mahasiswa Sabah untuk mengikuti semua garis panduan dan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah demi kemaslahatan semua  mahasiswa Sabah di Mesir.

Advertisement