Anda di sini

Lebih RM682 juta untuk bantu Sahabat AIM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) memperuntukkan lebih RM682 juta sebagai satu pakej bantuan kepada Sahabat AIM yang terjejas susulan penularan wabak COVID-19.

Pengarah Urusan AIM Shamir Aziz berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas memberi kesan kepada Sahabat AIM sehingga berdepan kesukaran untuk membuat pembayaran balik pinjaman.

“Justeru dengan mengambil kira perkembangan semasa, AIM telah bersetuju untuk memanjangkan tempoh bayaran balik mingguan selain menawarkan lebih banyak bantuan demi menjaga kebajikan Sahabat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, kutipan bayaran balik mingguan ditangguhkan sehingga 30 Mei depan tanpa sebarang caj melibatkan 373,815  Sahabat  dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM555 juta.

Selain itu, kebenaran diberikan bagi pengeluaran Simpanan Wajib (SW) semua Sahabat secara sekali beri dengan had pengeluaran sebanyak RM300 setiap seorang melibatkan RM112.5 juta dan penangguhan bayaran ansuran I-Lestari dan I-Usahawan Koop Sahabat selama tiga bulan tanpa sebarang caj tambahan untuk 400 peminjam berjumlah RM300,000.

Kata beliau, penangguhan Lelongan Sahabat Ar-Rahnu melibatkan 1,500 peminjam/pencagar berjumlah RM120,000 sehingga tamat tempoh PKP turut diberikan selain menawarkan penggunaan Carlton Hotel Koop Sahabat kepada doktor, jururawat, atendan kesihatan, pencuci di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara percuma melibatkan 80 bilik selama lapan hari berjumlah RM76,800.

Pengagihan Zakat Perniagaan Koop Sahabat berjumlah RM621,104, Dana Bantuan Kebajikan AIM berjumlah RM2.6 juta dan Dana Faedah Korporat AIM berjumlah RM1.14 juta kepada 17,444 Sahabat Asnaf terpilih dengan kadar RM250 seorang melibatkan keseluruhan dana berjumlah RM4,361,104 turut dilaksanakan.

Selain itu, Shamir berkata penyedian makanan ‘Ready to Eat Sahabat Retort’ kepada barisan hadapan KKM sebanyak 515 bungkus juga dilaksanakan.

Di samping itu, pihaknya turut memperuntukkan Pinjaman Tabung Kumpulan (PTK) membabitkan 10,000 Sahabat AIM dengan had maksimum RM1,000 setiap pinjaman yang melibatkan jumlah keseluruhan RM10 juta.

Beliau berkata usaha-usaha berkenaan bagi membolehkan Sahabat AIM menarik nafas lega dan memberi suntikan semangat untuk mereka kembali berniaga seperti biasa apabila keadaan pulih sepenuhnya nanti, katanya. — Bernama

Advertisement