Anda di sini

Lanjut tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, langkah terbaik - Minos

Advertisement
 

KUCHING: Langkah kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan adalah tepat walaupun akan menyebabkan sedikit kesukaran kepada rakyat. 

Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Dato Peter Minos (gambar) berkata jangkitan COVID-19 di negara terus meningkat. 

Disebabkan itu katanya, kerajaan tiada pilihan dan melanjutkan perintah tersebut yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac kepada 14 April 2020. 

"Langkah ini adalah tepat dan wajar, walaupun ia akan menyebabkan kesukaran dan gangguan dalam hidupan harian rakyat.

"Ini adalah pengorbanan yang perlu kita buat untuk melawan virus ini dan demi keselamatan rakyat sendiri," katanya kepada Utusan Borneo. 

Tambah Minos, langkah China dalam kejayaan melawan virus ini dengan melaksanakan kuarantin berterusan selama 45 hari harus dicontohi.

Langkah kuarantin selama 45 hari yang dibuat oleh China adalah satu-satunya pilihan kerana masih belum ada vaksin menentang COVID-19. 

Justeru, Minos yakin Malaysia dapat mengalahkan virus pembunuh ini dan kembali normal jika rakyat bekerjasama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini sehingga 14 April.