Anda di sini

Ingkar PKP: Dua lelaki dipenjara 10 bulan, denda RM6,000

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini mengenakan hukuman penjara serta denda kepada dua lelaki yang menghalang tugas polis dengan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman terbabit kepada kedua-dua tertuduh masing-masing Yong Tze Hou, 26, yang dihukum penjara selama 10 bulan dan Injimar Abu Gafar, 33, dikenakan denda RM6,000 serta akan dihukum penjara sekiranya gagal membayar denda dikenakan.

Hukuman terbabit dibuat selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dengan pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, Yong didakwa selepas menghalang penjawat awam menjalankan tugas iaitu melarikan diri daripada anggota polis yang menjalankan rondaan dari kawasan Jalan Kampung Cenderakasih sehingga ke Jalan Bukit Bendera dalam kejadian selama dua jam bermula jam 1.30 pagi kelmarin.

Manakala Injimar yang memegang kad berstatus pemastautin tetap turut menerima hukuman selepas menghalang pegawai polis dengan tidak memberikan kerjasama selain mengeluarkan kata-kata kesat kepada pasukan polis dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Tuaran Batu 7, Inanam pada 9.15 malam pada 23 Mac.

 Polis mengiringi Yong (tengah) dan Injimar keluar dari kamar mahkamah selepas selesai prosiding.
IRING: Polis mengiringi Yong (tengah) dan Injimar keluar dari kamar mahkamah selepas selesai prosiding.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon kepada mahkamah agar memberi hukuman minimum berikutan ianya adalah kesalahan pertama serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau sebelum ini.

Yong diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh dia ditangkap semalam dan Injimar akan dirujuk kepada pihak Imigresen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Khairul Anuar Abd Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum sebagai pengajaran kepada tertuduh selain memberikan kesedaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.

  • oleh
  • Advertisement