Anda di sini

Ingkar PKP, 28 orang ditangkap di Sarawak

 

KUCHING: Dua puluh lapan orang ditangkap di seluruh negeri kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam operasi dari jam 12 tengah malam hingga 8 pagi hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar (gambar) memberitahu 24 orang yang ditangkap merupakan lelaki, dan empat lagi adalah wanita.

Menurutnya, mereka yang ditahan adalah sembilan di Miri, Dalat (7), Sarikei (4), Kota Samarahan (2), Lawas (2), Bintulu (2), Kuching (1) dan Padawan (1).

"Hasil siasatan mendapati 26 yang ditangkap tidak dapat memberi alasan yang munasabah untuk berada di jalan raya atau tempat awam.

"Manakala dua lagi ditangkap di Batu Niah kerana merempuh sekatan jalan raya," jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya 26 yang ditangkap kerana tiada alasan munasabah itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah percakapan mereka dirakam.

"Manakala dua lagi yang merempuh sekatan jalan raya ditahan di lokap polis untuk siasatan lanjut," jelasnya.

Dev selain itu memberitahu kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Peraturan 7(1)Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai agar mematuhi PKP yang dikuatkuasakan sehingga 14 April depan.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk menangkap mana-mana orang yang tidak dapat memberi alasan munasabah ketika ditahan di sekatan jalan raya atau semasa pemeriksaan mengejut," tegasnya.

Advertisement